KUALA LUMPUR – YPM FC muncul juara sulung Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah selepas menewaskan Majlis Daerah Raub FC 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Pahang malam tadi.
Keberangkatan Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang ke majlis penutupan dan perlawanan akhir itu menyerikan lagi acara berkenaan.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda berdua disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum berkenan menyaksikan aksi kedua-dua pasukan terbaik yang berentap bagi merebut kejuaraan sulung liga tersebut.
Sultan Pahang turut berkenan menyaksikan sesi sembah kenal para pemain dan pasukan yang beraksi pada perlawanan akhir sebelum sepak mula disempurnakan.
Perlawanan berlangsung dalam suasana meriah dengan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi kompetitif dalam usaha memburu kejuaraan.
Bagaimanapun, YPM FC akhirnya berjaya mengekalkan kelebihan untuk menewaskan Majlis Daerah Raub FC 2-1 sekali gus dinobatkan sebagai juara pertama Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah.
Acara penutupan turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah membabitkan hadiah berupa sebuah kereta, motosikal dan telefon pintar kepada pengunjung.
Selain itu, persembahan artis Ara Johari, Baggio dan Azlan Typewriter turut menghiburkan penonton yang hadir.
Penganjuran Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan bola sepak di Pahang, selain menyediakan platform kepada bakat tempatan untuk diketengahkan.
Pada masa sama, kejohanan berkenaan turut menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan, khususnya bola sepak. – MalaysiaGazette
















