Gambar Perodua Myvi yang ditinggalkan pemandu dan 2 penumpang selepas kemalangan maut di Jalan Mempaga-Sertik, Bentong semalam.

BENTONG – Polis giat mengesan tiga individu yang dipercayai melarikan diri selepas mengakibatkan kemalangan maut di Jalan Mempaga-Sertik, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, kemalangan dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.30 pagi melibatkan tiga buah kenderaan.

“Siasatan awal mendapati, sebuah kereta jenis Honda HR-V dan sebuah motosikal dalam perjalanan dari arah Sertik menuju ke arah Mempaga.

“Manakala sebuah Perodua Myvi dinaiki tiga individu terbabit yang datang dari arah bertentangan dipercayai telah memasuki lorong dilalui kedua-dua kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Zaiham berkata, pemandu Honda HR-V berusia 41 tahun cuba mengelak ke sebelah kiri, namun dilanggar Myvi itu pada bahagian sisi kanan.

Katanya, motosikal ditunggang lelaki berusia 41 tahun yang berada di belakang HR-V itu turut dilanggar MyVi terbabit.

“Kemalangan menyebabkan penunggang motosikal, Fazlizal Abdul Samad tercampak ke bahu jalan sebelah kiri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu HR-V dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

“Bagaimanapun, pemandu dan dua penumpang kereta Myvi dipercayai meninggalkan kenderaan itu dan melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran,” katanya lagi.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Bentong bagi tujuan bedah siasat.

Menurut Zaiham, pihaknya sedang giat mengesan dan mengenal pasti ketiga-tiga individu berkenaan dan menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang makluman berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazettte

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here