Gambar hiasan

UNGKAPAN Dr. Burhanuddin al-Helmy, “Di atas robohan Kota Melaka, kita bangunkan jiwa merdeka, bersatu padulah segenap baka, membela hak keadilan pusaka” lahir daripada zaman perjuangan antikolonial dan membawa semangat kebangkitan bangsa.

Ungkapan ini menghubungkan sejarah, kemerdekaan, perpaduan dan keadilan dalam satu gagasan yang padat. Namun, maknanya tidak seharusnya terhenti pada konteks sejarah asal. Perubahan masyarakat, struktur sosial dan cabaran negara menuntut ungkapan tersebut difahami semula secara kritis dalam realiti Malaysia kontemporari.

Pemahaman semula ini bukan bermaksud mengubah maksud asal Dr. Burhanuddin, tetapi menelusuri nilai yang masih relevan dalam gagasan tersebut. Dalam konteks Malaysia yang majmuk, “segenap baka” boleh difahami secara inklusif sebagai seluruh rakyat yang berkongsi ruang kewarganegaraan. “Jiwa merdeka” pula tidak lagi sekadar merujuk kepada pembebasan daripada penjajahan, tetapi juga kebebasan daripada prasangka, stereotaip, fanatisme identiti dan mentaliti yang menghalang kehidupan bersama.

Persoalan utama hari ini bukan lagi sekadar bagaimana mempertahankan sebuah negara yang telah merdeka, tetapi bagaimana memastikan setiap rakyat benar-benar merasakan dirinya sebahagian daripada negara tersebut. Di sinilah gagasan kesepaduan sosial menjadi penting. Kemerdekaan politik tidak secara automatik menghasilkan kesepaduan sosial. Negara boleh merdeka dari sudut politik, tetapi masyarakat masih boleh terpisah dari segi sosial, ekonomi, budaya dan psikologi.

Jiwa merdeka dan bangsa idaman Malaysia

“Jiwa merdeka” boleh menjadi asas intelektual dalam pembinaan bangsa idaman Malaysia. Namun, jiwa merdeka tidak boleh disalah tafsir sebagai kebebasan tanpa batas. Sebaliknya, ia merupakan keupayaan berfikir secara matang, menerima perbezaan dan mengiktiraf bahawa Malaysia dibentuk melalui pengalaman sejarah pelbagai kelompok.

Sejarah Malaysia tidak bersifat tunggal dan ‘bersendirian’. Ia merangkumi sejarah kerajaan Melayu, perkembangan Islam, migrasi, penjajahan, pengalaman Sabah dan Sarawak serta sumbangan masyarakat Cina, India, Orang Asli dan pelbagai komuniti peribumi. Oleh itu, bangsa idaman Malaysia tidak wajar dibina melalui satu naratif yang mendominasi atau menenggelamkan naratif kelompok lain. Ia perlu dibina melalui naratif bersama yang mengiktiraf kepelbagaian sebagai sebahagian daripada pembentukan negara.

Kesepaduan sosial juga tidak bermaksud keseragaman. Rakyat boleh berbeza dari segi agama, bahasa, budaya dan tradisi, tetapi masih berkongsi rasa memiliki terhadap negara. Mereka boleh bekerjasama tanpa menghapuskan identiti masing-masing. Mereka juga boleh berbeza pandangan tanpa menjadikan perbezaan sebagai alasan untuk bermusuhan.

Dalam kerangka ini, “bersatu padulah segenap baka” perlu ditafsirkan sebagai seruan membina hubungan merentas kelompok. Penyatuan tidak seharusnya bermula dengan persoalan siapa yang lebih utama, tetapi dengan persoalan apakah yang boleh dibina bersama. Bangsa idaman Malaysia dengan demikian bukan suatu produk yang telah selesai, tetapi proses yang sentiasa berkembang melalui pendidikan, pengalaman sosial, interaksi masyarakat dan keupayaan mengurus konflik.

Persoalan kritikalnya ialah sama ada kita mahu membina bangsa yang hanya bersatu pada simbol dan upacara kebangsaan atau bangsa yang benar-benar mampu hidup bersama dalam kehidupan harian. Perbezaan ini penting kerana perpaduan yang hanya bersifat simbolik mudah menjadi slogan, sedangkan kesepaduan yang sebenar perlu dirasai dalam hubungan sosial.

Realiti kesepaduan sosial

Gagasan bangsa idaman menjadi lebih kritikal apabila dilihat melalui konsep takrifan rasmi (authority-defined) dan takrifan harian (everyday-defined) yang diperkenalkan oleh Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin. Realiti sosial takrifan rasmi terbentuk melalui struktur kuasa dan institusi seperti perlembagaan, undang-undang, dasar negara, sistem pendidikan dan institusi rasmi. Sebaliknya, takrifan harian terbentuk melalui pengalaman sebenar masyarakat dalam kehidupan seharian.

Kedua-dua realiti ini penting, tetapi tidak semestinya selari. Pada peringkat autoriti, negara mungkin mempunyai dasar perpaduan, program integrasi dan prinsip kesamarataan. Namun, kewujudan dasar tidak semestinya bermaksud kesepaduan telah benar-benar berlaku. Persoalan yang lebih penting ialah bagaimana rakyat mengalami dasar tersebut dalam kehidupan mereka.

Adakah mereka benar-benar berasa diterima? Adakah mereka dihormati? Adakah peluang sosial dan ekonomi dirasakan adil? Adakah mereka mempunyai ruang untuk menyuarakan pandangan? Adakah mereka mampu berinteraksi dengan kelompok lain tanpa prasangka? Persoalan ini memperlihatkan bahawa kesepaduan sosial tidak boleh diukur hanya melalui dokumen, slogan atau dasar rasmi.

Cabaran terbesar ialah wujudnya kemungkinan masyarakat menerima perpaduan pada tahap wacana tetapi masih mengamalkan pengasingan pada tahap kehidupan seharian. Seseorang mungkin menyokong perpaduan secara prinsip, tetapi masih memilih untuk bergaul hanya dalam lingkungan kelompok sendiri. Di sinilah wujud jurang antara ideal dengan realiti.

Ungkapan Dr. Burhanuddin memberikan asas penting untuk memahami jurang tersebut. “Jiwa merdeka” menuntut perubahan pada cara manusia berfikir. “Bersatu padulah segenap baka” menuntut hubungan yang melampaui sempadan kelompok. Manakala “membela hak keadilan pusaka” menegaskan bahawa perpaduan mesti berasaskan keadilan.

Keadilan merupakan prasyarat penting kerana masyarakat tidak akan bersatu hanya melalui seruan moral. Kesepaduan memerlukan kepercayaan dan kepercayaan terbina apabila rakyat merasakan sistem sosial berlaku adil. Tanpa keadilan yang dirasai, perpaduan mudah menjadi retorik yang tidak mempunyai akar dalam pengalaman masyarakat.

Kesepaduan sebenarnya terbina melalui kehidupan seharian. Anak-anak bermain bersama, murid belajar bersama, jiran saling membantu, rakan sekerja menghormati perbezaan, masyarakat berkongsi perayaan dan konflik diselesaikan melalui dialog. Perkara-perkara kecil inilah yang membentuk kepercayaan sosial. Tanpa pengalaman bersama tersebut, bangsa idaman hanya akan kekal sebagai gagasan politik.

Membina bangsa idaman Malaysia

Bangsa idaman Malaysia bukan sekadar konsep politik, tetapi pengalaman sosial yang dirasai rakyat. Ia wujud apabila seseorang merasakan negara ini juga miliknya, apabila perbezaan tidak menyebabkan keterasingan dan apabila masa depan dirinya dilihat berkait dengan masa depan orang lain.

Oleh itu, pembinaan bangsa Malaysia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada takrifan autoriti. Ia mesti mengambil kira suara dan pengalaman rakyat. Takrifan rasmi perlu bertemu dengan takrifan harian. Jika kedua-duanya bertemu, kesepaduan sosial menjadi lebih bermakna. Jika wujud jurang yang besar, perpaduan akan kekal pada tahap slogan dan simbol.

Dalam konteks ini, “jiwa merdeka” mempunyai relevansi yang sangat besar. Jiwa merdeka ialah jiwa yang tidak terperangkap dalam prasangka, tidak takut kepada perbezaan dan tidak menjadikan identiti sebagai tembok pemisah. Identiti seharusnya menjadi sumber kekuatan untuk hidup bersama, bukan alat untuk menentukan siapa yang lebih berhak terhadap negara.

Bangsa idaman Malaysia bukanlah bangsa yang menghapuskan perbezaan. Sebaliknya, bangsa idaman ialah bangsa yang mampu mengurus perbezaan secara matang, adil dan berterusan. Kita tidak perlu menjadi sama untuk menjadi satu. Yang diperlukan ialah rasa memiliki yang sama terhadap tanah air, kepercayaan terhadap sesama warga dan keadilan yang dapat dirasai dalam kehidupan sebenar.

“Di atas robohan Kota Melaka” bukan sekadar ajakan mengingati masa lalu, tetapi cabaran untuk menentukan bangsa yang mahu kita bina pada masa hadapan. Jawapannya terletak pada usaha mendirikan sebuah bangsa yang merdeka jiwanya, kukuh kesepaduan sosialnya dan adil kehidupan bersamanya.

Bangsa idaman Malaysia tidak akan lahir hanya melalui dokumen perlembagaan, slogan politik atau gagasan yang dirumuskan dari atas. Bangsa idaman terbentuk melalui pengalaman sejarah yang dikongsi, kehidupan bersama yang berterusan dan kesediaan setiap kelompok untuk mengiktiraf kepelbagaian sebagai asas kekuatan, bukannya sumber perpecahan.

Dalam kerangka ini, pemikiran Emer de Vattel dalam The Law of Nations (1758) yang melihat sesebuah bangsa atau negara sebagai “A nation or state is…a body politic, or a society of men united together” memberikan suatu asas pemikiran yang penting. Sebuah bangsa bukan sekadar himpunan manusia yang mendiami wilayah yang sama, tetapi suatu masyarakat politik yang terikat oleh kesedaran tentang kepentingan bersama, keadilan dan tanggungjawab terhadap satu sama lain.

Justeru, bangsa idaman Malaysia hanya akan benar-benar berakar apabila kepelbagaian diiktiraf sebagai kekuatan bersama, keadilan menjadi asas kehidupan bernegara dan setiap warganya merasakan bahawa mereka mempunyai tempat, maruah dan masa depan dalam negara yang sama. Bangsa yang bermaruah bukanlah bangsa yang meniadakan perbezaan, tetapi bangsa yang mampu mengurus perbezaan dengan adil sehingga kepelbagaian itu sendiri menjadi asas kepada kesatuan”. Selamat Hari Malaysia!

Oleh: Dr. Ahamad Jama’ Amin Yang

Pensyarah Jabatan Sejarah, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah merangkap Felo Bersekutu Royal Historical Society, United Kingdom.

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here