KUALA LUMPUR – Agama tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka atau modal politik untuk meraih tepukan, lebih-lebih lagi dalam ucapan di hadapan ribuan perwakilan, kata Naib Presiden Gerakan, Datuk G. Parameswaran.
Beliau berkata, pemimpin politik perlu lebih bertanggungjawab ketika menyentuh perkara berkaitan agama kerana setiap perkataan yang diucapkan boleh memberi kesan kepada hubungan antara masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan.
Katanya kepada MalaysiaGazette, perkara itu tidak seharusnya dilihat sebagai isu kecil atau sekadar jenaka kerana apa yang dianggap lucu oleh seseorang mungkin dilihat menghina atau menyinggung perasaan penganut agama lain.
“Kita tidak boleh menggunakan agama sebagai bahan untuk mendapatkan gelak ketawa dan tepukan. Kalau kita mahu agama kita dihormati, kita juga mesti menunjukkan penghormatan yang sama terhadap agama orang lain,” katanya.
Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said mencetuskan kontroversi selepas menyampaikan jenaka berkaitan paderi dan biarawati ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2026.
Noorazli kemudian menyatakan kesediaan memohon maaf sekiranya ucapannya menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak khususnya penganut agama Kristian.
Parameswaran berkata, prinsip menghormati agama perlu terpakai kepada semua pihak tanpa mengira parti politik, kaum atau kedudukan, termasuk ketika pemimpin menyampaikan ucapan dalam perhimpunan parti.
Menurutnya, Malaysia mempunyai sejarah panjang dalam membina keharmonian antara penganut agama dan perkara itu tidak sepatutnya dikompromi hanya kerana seseorang mahu menyampaikan sesuatu analogi atau membuat jenaka.
“Kalau perkara sama berlaku kepada agama lain, kita juga tentu mahu masyarakat menghormati sensitiviti tersebut. Jadi prinsipnya mesti sama untuk semua,” katanya.
Dalam pada itu, Parameswaran berkata, kesediaan Noorazli untuk memohon maaf wajar dihargai namun lebih penting ialah memastikan perkara seumpama itu tidak berulang pada masa depan.
Beliau berkata, permohonan maaf bukan sekadar untuk meredakan kontroversi sebaliknya perlu disusuli kesedaran bahawa kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab.
“Politik boleh berbeza, tetapi jangan sampai agama dijadikan mangsa. Kita boleh berbahas dan berbeza pandangan tanpa menyentuh perkara yang boleh memecah-belahkan masyarakat,” katanya.
Terbaharu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang meminta kementerian dan agensi penguatkuasaan berkaitan meneliti ucapan berkenaan dan menjalankan siasatan sekiranya terdapat unsur pelanggaran undang-undang. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:

















Well said Datuk . Agreed with you 100%.