Sisa minyak dipercayai dari kelapa sawit ditemui di permukaan Sungai Sembrong sehingga menyebabkan ribuan ikan dan udang ditemui mati hari ini.

KLUANG – Sungai Sembrong di sini yang menjadi mata pencarian masyarakat orang asli terjejas akibat pencemaran sisa minyak sejak petang semalam.

Penduduk setempat didakwa mengesan sisa minyak tersebut dari bahagian hulu sungai berkenaan dan pelbagai ikan seperti tilapia dan baung ekor kuning serta udang galah ditemui mati hari ini.

Batin Kampung Orang Asli Berasau, Sari Achu berkata, penduduk Kampung Orang Asli Air Pasir, Kampung Orang Asli Kuala Sengka, Kampung Orang Asli Sedohok dan Kampung Orang Asli Sungai Peroh mengadulan masalah itu kepadanya.

Katanya, hasil daripada tinjauan dilakukan penduduk, kejadian pencemaran itu datang dari satu tali air di bahagian hulu Sungai Sembrong namun belum dapat dipastikan punca dan pihak yang terlibat.

“Susulan itu, satu laporan telah diadukan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kluang hari ini dan dipercayai tindakan menjejaki punca pencemaran sedang dilakukan,” katanya ditemui hari ini.

Beliau berkata, sebagai penduduk yang menjadikan hidupan sungai sebagai mata pencarian, pihaknya kesal dengan kejadian itu kerana apabila berlaku pencemaran seperti itu akan memerlukan masa agak panjang untuk dipulihkan semula.

“Akibat daripadanya penduduk terpaksa pergi ke tempat lebih jauh untuk mencari tangkapan ikan serta udang yang tidak terkesan dengan pencemaran ini,” katanya.

Menurutnya, kejadian pencemaran di Sungai Sembrong bukan perkara baharu berlaku namun telah berulang kali dan pihak yang terlibat juga sudah dikenakan tindakan.

Ujarnya, penduduk percaya pencemaran berlaku daripada sisa minyak kelapa sawit hasil daripada apa yang dilihat atas permukaan air dan kemungkinan dilakukan oleh pihak sama sebelum ini.

“Kami amat berharap, tindakan lebih tegas perlu dilakukan sekiranya pencemaran ini dilakukan oleh pihak yang sama seperti sebelum ini agar dapat memberikan pengajaran kepada mereka,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here