Sheikh Umar Bagharib Ali.

JOHOR BAHRU – Jenaka menggunakan watak seorang paderi dan biarawati serta penggunaan surah Mazmur dalam Bible pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu hanya akan mengundang penghinaan terhadap agama Islam.

Naib Pengerusi DAP Johor, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali menegaskan, agama tidak wajar dijadikan bahan jenaka, dipermainkan atau diperlekehkan kerana akan mereka yang tersinggung akan mencela pula Islam.

Ahli Dewan Negara itu berkata, pendirian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dalam isu berkenaan wajar diberikan kredit meskipun jarang bersetuju dengan pendekatan politiknya.

Menurut beliau, penerimaan dan penghormatan masyarakat bukan Islam terhadap Islam sangat bergantung kepada bagaimana penganutnya ‘mempersembahkan’ Islam kepada mereka.

Jelasnya, interaksi, respons dan sikap umat Islam terhadap agama lain mesti berpandukan hikmah serta kebijaksanaan, bukan amarah atau emosi semata-mata.

“Apatah lagi dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia.

“Saya percaya rakyat tidak mahu agama dijadikan bahan untuk menghina, memprovokasi atau memalukan pihak lain,” katanya dalam kenyataan.

Sheikh Umar berkata, pendirian itu konsisten sejak awal termasuk ketika berlaku insiden ‘memijak soolam’ dan isu ‘tahlil arwah Anthony Loke’.

“Mungkin latarnya sedikit berbeza, tetapi prinsip asasnya sama,” katanya.

Menurutnya, ajaran Islam mengingatkan umatnya agar tidak mencela sembahan dan kepercayaan agama lain sehingga menyebabkan mereka membalas dengan mencela Allah dan agama Islam tanpa ilmu.

“Moga kita semua memperbaiki diri dan belajar sesuatu,” katanya.

Sebelum ini, Akmal menegaskan agama bukan perkara yang boleh dijadikan bahan jenaka susulan kontroversi membabitkan ucapan wakil UMNO yang menyentuh paderi dan biarawati pada PAU lalu.

Akmal berkata, perkara berkenaan merupakan isu sensitif yang pasti mengundang kemarahan sekiranya perkara sama turut melibatkan imam dan umat Islam.

Kontroversi tercetus apabila Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said yang juga jurucakap UMNO Selangor menceritakan jenaka menggunakan watak seorang paderi dan biarawati serta penggunaan surah Mazmur dalam Bible. -MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here