Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh beramah mesra bersama ahli keluarga mantan Ketua Hakim Negara, Allahyarham Tun Abdul Hamid Mohamad pada Majlis Memperingati Mantan-Mantan Ketua Hakim Negara dan Mantan Hakim Besar Malaya di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 15 SEPTEMBER 2026.

PUTRAJAYA – Tidak pernah berkompromi dalam soal prinsip kerana takutkan tuhan menjadi antara pegangan Allahyarham Tun Abdul Hamid Mohamad sepanjang hayatnya.

Menurut anaknya, Melati Abdul Hamid, keteguhan prinsip bapanya bukan sekadar ditunjukkan ketika memegang jawatan sebagai hakim malah menjadi sebahagian daripada cara beliau menjalani kehidupan dan membuat setiap keputusan.

Beliau mengimbas satu kejadian ketika Abdul Hamid menjadi Hakim Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang apabila seorang wanita datang ke rumah mereka tanpa diundang untuk meminta bantuan berhubung kes yang sedang dihadapinya.

Abdul Hamid menolak permintaan itu dan memberitahu wanita berkenaan beliau perlu menarik diri daripada kes tersebut kerana wanita itu tidak sepatutnya menghubunginya mengenai perkara berkenaan.

Apabila wanita itu berkata, tiada siapa akan mengetahui perkara tersebut, jawapan Allahyarham cukup ringkas; God knows (Tuhan tahu)

Bagi Melati, jawapan itu menggambarkan pendirian bapanya yang tidak bergantung kepada sama ada sesuatu perbuatan diketahui manusia atau sebaliknya sebaliknya berpandukan keyakinan bahawa setiap tindakan tetap diketahui tuhan.

Menurutnya, ketika berada di bangku kehakiman, bapanya membuat keputusan berdasarkan fakta yang dikemukakan dan undang-undang yang terpakai manakala pandangan peribadi tidak pernah dijadikan ukuran.

“Dia melakukan apa yang dipercayainya betul, sebaik mungkin, walaupun perkara itu mungkin menjejaskan masa depannya,” katanya ketika menyampaikan ucapan penghormatan pada Majlis Memperingati Mantan-Mantan Ketua Hakim Negara dan Mantan Hakim Besar Malaya di Istana Kehakiman.

Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad

Keteguhan itu, menurut Melati, terbentuk daripada perjalanan hidup bapanya yang bermula dalam keluarga sederhana di Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Bapanya merupakan anak kepada seorang penanam padi yang juga imam kampung dan seorang suri rumah selain menjadi individu pertama dari seluruh kampungnya yang menghadiri sekolah aliran Inggeris sebelum melanjutkan pengajian ke universiti.

Perjalanan ke sekolah sendiri menuntut ketabahan apabila setiap hari Tun Abdul Hamid perlu mengayuh basikal sejauh tiga kilometer menaiki bas 17 kilometer dan berjalan kaki 1.5 kilometer.

Kemudian menyeberangi Sungai Prai dengan sampan dan kemudian berjalan lagi kira-kira setengah kilometer sebelum tiba di sekolah.

Ketabahannya turut terserlah ketika darjah tiga apabila jari telunjuk kanan terpotong ketika membuat gasing namun  dua minggu tidak bersekolah, beliau melatih diri menulis menggunakan tangan kiri bagi membolehkannya menduduki peperiksaan akhirnya muncul sebagai pelajar terbaik dalam kelas.

Melati berkata, sifat tidak mudah mengalah itu terus dibawa bapanya sepanjang kerjaya termasuk ketika beliau berdepan cabaran sebagai Ketua Hakim Negara pada 2007 ketika keyakinan awam terhadap institusi kehakiman berada pada tahap rendah.

Ketika itu, Tun Abdul Hamid memilih dua perkataan mudah sebagai peringatan kepada warga kehakiman iaitu ‘buat kerja’, yang turut dipaparkan pada sepanduk besar di Istana Kehakiman.

Bagi Melati, mesej itu sebenarnya menggambarkan prinsip hidup bapanya iaitu melakukan perkara yang sepatutnya dilakukan, pada waktunya, setiap hari dan tanpa gagal.

“Dari Permatang Tinggi Bakar Bata hingga ke Istana Kehakiman, Ayah kekal sama dalam perkara yang penting: rendah diri, rajin bekerja, berprinsip dan jujur, ujarnya emosi.

Melati berkata, walaupun bapanya menerima pelbagai pengiktirafan sepanjang hayat termasuk Anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2015 dan jemputan menyampaikan syarahan di Universiti Harvard, semua itu bukan ukuran utama kehidupannya.

Selepas bersara dan walaupun kesihatannya semakin merosot, Abdul Hamid terus menulis, menghasilkan lapan buku serta ratusan ucapan dan artikel malah menaip sendiri hasil penulisannya dan mengurus laman sesawangnya.

Menurut Melati, bapanya berharap laman sesawang tersebut terus tersedia selepas pemergiannya sebagai wakaf ilmu, membolehkan pengetahuan yang dikongsikannya terus dimanfaatkan generasi seterusnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here