KUALA LUMPUR – Keharmonian dan perpaduan Bangsa Johor perlu terus dipelihara sebagai kekuatan utama bagi memastikan negeri itu kekal maju serta mampu menyumbang kepada kemajuan Malaysia.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, walaupun rakyat negeri itu terdiri daripada pelbagai latar belakang, Bangsa Johor tetap berdiri bersama sebagai satu keluarga dengan saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.
Menurut beliau, semangat kebersamaan itu penting bagi memastikan keamanan, kestabilan dan kedaulatan negara terus dipertahankan.
“Di Johor, keharmonian yang kita nikmati merupakan satu kekuatan yang perlu terus dipelihara.
“Walaupun berbeza latar belakang, Bangsa Johor tetap berdiri bersama sebagai satu keluarga, saling menghormati, saling memahami dan berganding bahu untuk memastikan Johor terus maju serta menyumbang kepada kemajuan Malaysia,” katanya menerusi perutusan sempena Hari Malaysia 2026 dalam hantaran terbaru di akaun rasmi Facebook miliknya, hari ini.
Onn Hafiz berkata, sambutan Hari Malaysia turut mengingatkan rakyat mengenai pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 yang menyatukan rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya dalam sebuah negara berdaulat.
Katanya, kekuatan Malaysia tidak seharusnya dilihat melalui perbezaan yang wujud dalam kalangan rakyat sebaliknya kepelbagaian itu perlu menjadi asas kepada perpaduan dan kekuatan negara.
“Hari Malaysia mengingatkan kita bahawa kekuatan negara terletak pada kesatuan dan kecintaan kita kepada tanah air.
“Kepelbagaian yang kita miliki bukanlah penghalang, sebaliknya menjadi kekuatan yang menyatukan kita untuk terus mempertahankan keamanan, kestabilan dan kedaulatan Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya terus menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan dan menanam rasa cinta yang tidak berbelah bahagi terhadap tanah air.
“Semoga negara kita terus aman, berdaulat dan makmur, manakala Johor kekal teguh sebagai negeri yang maju dengan bangsa Johor yang bersatu dan berjiwa besar. Insya-Allah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















