Paul menunjukkan keratan akhbar yang menunjukkan pendedahan berkenaan masalah tanahnya yang diceroboh pemaju di Kampung Tengah, Renggam, Kluang

KLUANG – Seorang pemilik kebun kelapa sawit di Kampung Tengah, Renggam di sini kecewa apabila pendedahan pencerobohan tanah miliknya yang dilakukan pemaju tidak dihiraukan mana-mana pihak sehingga kini apatah lagi tampil untuk bertanggungjawab.

Paul Ng Ah Phow, 56, usahanya untuk mendapat keadilan secara perundangan juga gagal apabila diminta menarik balik semua tuntutan dikemukakan tanpa sebarang alasan munasabah bagi membolehkan bayaran pampasan tidak dibayar kepadanya.

Dia berkata, sedangkan masalah tersebut adalah jelas apabila tanahnya diceroboh syarikat pemaju yang membina longkang besar tanpa mendapat kebenarannya bagi landasan keretapi berkembar elektrik (ETS).

Dakwanya, sehingga kini tiada mana-mana pihak termasuk daripada kepimpinan masyarakat setempat tampil untuk membantunya menyelesaikan konflik pencerobohan berkenaan.

“Akibat daripada pencerobohan ini, usaha saya untuk menjual tanah kebun kelapa sawit seluas kira-kira 100 ekar itu kini berhadapan masalah walaupun kawasan tanah yang diceroboh itu hanya seluas kira-kira 383.78 kaki persegi (35.654 meter persegi),” katanya ditemui hari ini.

Paul mendakwa kebun kelapa sawitnya di Renggam, Kluang diceroboh syarikat pemaju yang membina longkang besar tanpa mendapat kebenarannya.

Menurut Paul, harapannya kini hanya mendapatkan bantuan daripada Pejabat Tanah Daerah (PTD) Kluang bagi membuat pemetaan semula keluasan kebun miliknya agar usaha untuk menyelesaikan masalah berkenaan dapat diselesaikan.

“Walaupun masalah ini telah disiarkan dalam pelbagai portal dan akhbar arus perdana, namun ia seolah-olah dipandang sepi daripada mana-mana pihak sedangkan kejadian pencerobohan tanah kebun kelapa sawit itu bukan kesalahan saya.

“Mungkin ia kerana ukuran pencerobohan itu berlaku keatas tanah hanya seluas kira-kira 383.78 kaki persegi sahaja maka ia dianggap perkara kecil dan remeh sedangkan impaknya besar kepada seorang pemilik tanah seperti saya,” katanya.

Harapannya juga akan ada pihak kepimpinan negeri ini tampil membantu menyelesaikan masalah itu bagi membolehkan situasi menang-menang berlaku antara pihaknya dengan pihak penceroboh berkenaan.

Pihaknya juga tidak berhasrat untuk memanjangkan perkara itu dan mahu diselesaikan dengan sebaiknya, seterusnya membolehkan perkara lain berkaitan dapat diselesaikan.

Paul berkata, keluasan pencerobohan hanya seluas 35.654 meter persegi namun mungkin akan berlaku runtuhan lebih besar pada masa depan

“Tiada apa-apa yang saya mahukan kecuali penyelesaian cara yang baik dan seterusnya menyelesaikan pertelingkahan ini,” katanya.

Pada 30 Ogos lalu, portal ini menyiarkan kekecewaan Paul yang mendakwa tanahnya diceroboh syarikat pemaju yang membina longkang besar tanpa mendapat kebenarannya untuk projek ETS.

Jelasnya, ini berikutan adanya cerun di kawasan yang diceroboh yang mampu mengubah keluasan tanah miliknya selain menjejaskan tanaman kelapa sawit berhampiran.

Paul berkata, satu laporan polis juga dibuat bulan lalu untuk menuntut siasatan menyeluruh agar prosedur perundangan dapat dilakukan dan haknya sebagai pemilik tanah dapat diberikan seadilnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here