Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kotak plastik yang mengandungi 20 unit bata plastik permainan berlabel radioactive bomb yang ditemui di hadapan sebuah kedai Sri Petaling di sini baru-baru ini disahkan peralatan permainan untuk aktiviti team building sebuah syarikat.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata,  polis menerima maklumat daripada pengarah syarikat yang menguruskan latihan dan team building berhubung penemuan kotak berkenaan.

Hasil siasatan mendapati kotak itu ditinggalkan oleh seorang pekerja syarikat berkenaan yang dikenali sebagai Chong.

“Pemeriksaan mendapati kotak tersebut mengandungi 20 unit bata plastik permainan radioactive bomb. Ia digunakan sebagai peralatan permainan dalam aktiviti team building secara berkumpulan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Isnin lalu, sebuah kotak plastik mencurigakan yang ditemui di hadapan sebuah kedai di Sri Petaling, di sini, mencetuskan kebimbangan selepas pemeriksaan awal mendapati bacaan radiasi agak tinggi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, bacaan radiasi yang agak tinggi dilakukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Unit Persenjataan Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan) Bukit Aman serta pihak Agensi Nuklear Malaysia.

Menurut Hook, perkembangan terbaru itu berdasarkan keterangan pengarah syarikat itu yang menganjurkan program team building di Ipoh, Perak pada 11 dan 12 September lalu.

Jelasnya, selepas program berkenaan tamat, Chong membawa pulang peralatan permainan tersebut sebelum dipercayai tertinggal kotak berkenaan di hadapan sebuah kedai dekat Sri Petaling ketika dalam perjalanan pulang.

“Perkara tersebut dipercayai berlaku pada 12 September 2026 kira-kira 11 malam disebabkan keletihan selepas selesai mengikuti program team building,” katanya.

Beliau berkata, kotak plastik dan barangan di dalamnya adalah peralatan permainan milik syarikat terbabit yang digunakan untuk aktiviti team building dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang kegiatan jenayah.

“Semakan lanjut mendapati syarikat berkenaan memang menawarkan permainan radioactive bomb sebagai salah satu aktiviti yang bertujuan menggalakkan kerjasama antara ahli pasukan serta meningkatkan kecergasan minda peserta.

“Permainan berkenaan turut disokong dengan modul permainan yang disediakan oleh syarikat terbabit dalam bentuk fail PDF,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here