Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP yang juga Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mengkritik Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow kerana memilih untuk menyerangnya berhubung isu kedudukan UMNO dalam kerajaan negeri bukan berdepan dengan serangan UMNO terhadap PH.

Guan Eng berkata, pemimpin PH Pulau Pinang tidak sepatutnya takut untuk menyinggung UMNO sebaliknya perlu berani menjawab serangan parti itu terhadap PH dan kerajaan.

Beliau sebelum ini bukan mencabar Kon Yeow tetapi mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya berani meminta PH Pulau Pinang menyingkirkan UMNO daripada kerajaan negeri seperti yang dilakukannya di peringkat Persekutuan.

“Daripada menyerang UMNO kerana bekerjasama dengan pembangkang PN, Kon Yeow memilih untuk mengkritik saya.

“Pemimpin PH Pulau Pinang tidak sepatutnya takut untuk menyinggung UMNO yang melakukan serangan memecah-belahkan masyarakat terhadap golongan agama bukan Islam serta tidak inklusif terhadap bukan Melayu,” katanya dalam kenyataan.

Kredit: FB Chow Kon Yeow

Guan Eng berkata, DAP juga tidak mempunyai masalah untuk menjawab dakwaan UMNO terhadap PH atau Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut mengingatkan UMNO sebelum ini mendakwa parti itu memainkan peranan menyebabkan kekalahan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada pilihan raya Negeri Sembilan baru-baru ini.

“Tiada salah atau kekeliruan bagi pemimpin DAP untuk menjawab dakwaan UMNO yang tidak berasas terhadap PH atau Perdana Menteri.

“Kon Yeow mungkin tidak mahu pemimpin DAP menyuarakan pandangan mereka tetapi Loke tidak pernah mengeluarkan arahan berdiam diri,” tegas Guan Eng.

Beliau berkata, keputusan akhir mengenai sama ada UMNO perlu kekal atau keluar daripada kerajaan negeri Pulau Pinang terletak pada kepimpinan pusat DAP dan PH.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata, pemimpin PH Pulau Pinang perlu mempunyai pendirian dalam isu itu dan menyampaikannya kepada kepimpinan tertinggi.

“Adakah PH atau Chow tidak mempunyai pendirian tegas selepas segala serangan UMNO dalam perhimpunan agung mereka baru-baru ini?” soal beliau.

Menurutnya, UMNO masih memegang jawatan dalam kerajaan negeri termasuk Exco, dua pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan negeri walaupun tanpa dua ADUN parti itu, kerajaan PH Pulau Pinang masih mampu mengekalkan majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri.

“Persepsi awam penting dalam politik. Pemimpin PH Pulau Pinang perlu sedar bahawa tiada lagi nilai untuk UMNO kekal dalam kerajaan negeri apabila UMNO boleh bekerjasama secara aktif dengan PN dan Pas dari dalam.

“Harga mengekalkan UMNO ialah persepsi negatif terhadap kepimpinan PH Pulau Pinang dan kerajaan negeri yang gagal menyedari bahawa musuh terbesar ialah musuh dari dalam,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here