Sekumpulan lelaki sedang mencuri kabel milik TM Tech Sdn. Bhd. di Jalan Jelatek, Dato Keramat, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung cubaan mencuri kabel milik TM Tech Sdn. Bhd. di Jalan Jelatek, Dato Keramat, di sini, selepas kejadian itu dirakam dan tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.30 petang, semalam.

Menurut beliau, pihak syarikat menerima rakaman video kejadian yang dikongsikan pengguna TikTok menggunakan nama “Kyle.XY” (@kyle_ra).

“Dalam rakaman video tersebut, terakam beberapa individu menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih dan sebuah kereta Toyota Harrier berwarna putih sedang menarik kabel milik TM Tech Sdn. Bhd.

“Nombor pendaftaran kedua-dua kenderaan berkenaan bagaimanapun tidak dapat dipastikan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Khairul Anuar berkata, pihak syarikat menganggarkan kerugian kira-kira RM15,000 akibat kejadian itu sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan rujukan.

“Polis turut mengesan satu hantaran video berkaitan kejadian berkenaan yang tular di aplikasi Threads,” katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 379, Seksyen 431A dan Seksyen 124K Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, individu yang disabitkan kesalahan mencuri boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Seksyen 431A pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Sementara itu, katanya lagi, Seksyen 124K Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 40 tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu terbabit serta kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here