KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyelar kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang membayangkan Dr Zakir Naik mungkin menjadi ‘korban politik’ dalam rundingan antara Malaysia dengan India.
Exco AMK, Ashraf Hadi berkata, kenyataan itu mendahului fakta dan memperlihatkan sikap lebih sudu daripada kuah, memandangkan kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung permohonan ekstradisi tersebut.
Malah, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menegaskan bahawa perkara itu akan ditangani secara berhati-hati dengan menghormati kedaulatan undang-undang
“Takiyuddin sepatutnya memahami bahawa perbincangan diplomatik bukan persetujuan ekstradisi.
“Permohonan sebuah negara juga tidak mengikat Malaysia untuk menerimanya.
“Kegagalan membezakan kedua-dua perkara ini amat memalukan bagi seorang bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang.
“Jika perbezaan itu difahami tetapi sengaja dikaburkan, tindakannya jauh lebih tercela,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lebih ironis, tambah beliau, Pas yang sering memberi amaran tentang pengaruh asing kini begitu mudah terperangkap dengan bingkai sensasi media India.
Ujarnya, sebuah laporan diambil, dibesarkan dan disusun menjadi naratif pengkhianatan tanpa sebarang bukti bahawa Perdana Menteri telah bersetuju menyerahkan Zakir Naik.
“Takiyuddin usah merendahkan kebijaksanaan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perdana Menteri memahami batas antara diplomasi dengan penyerahan prinsip.
“Seorang ketua kerajaan wajib mendengar tuntutan negara sahabat, namun keputusan Malaysia tetap tertakluk pada undang-undang, bukti dan kepentingan negara,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan gesaan Takiyuddin supaya kerajaan memperjelaskan status perundangan dan diplomatik bagi permohonan ekstradisi dibincangkan Anwar dan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi.
Takiyuddin turut menggesa Anwar memperincikan isu dibincangkan serta persefahaman dicapai dalam pertemuan kedua-dua pemimpin terbabit.
Katanya, penjelasan juga perlu diberi, sama ada keterangan dan dokumentasi bagi menyokong permohonan New Delhi kepada Kuala Lumpur sudah memenuhi syarat ditetapkan undang-undang Malaysia bagi tujuan ekstradisi. – MalaysiaGazette
















