Akmal Nasrullah Mohd Nasir

JOHOR BAHRU – Johor merekodkan pelaburan RM59.4 bilion dalam enam bulan pertama tahun ini, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, pelaburan utama yang diterima tersebut dalam sektor eksport antaranya melibatkan pembuatan elektrik dan elektronik, mesin serta dan pembuatan.

Ditanya sama ada jumlah pelaburan di Johor mampu mencecah sehingga RM100 bilion tahun ini, beliau berkata, angka tersebut mempunyai cabaran untuk dicapai.

“Ketika ini tumpuan saya adalah kepada pelaksanaan. Maksudnya sementara angka pelaburan itu kita rekodkan merangsangkan tahun lepas, cabarannya how to realize angka tersebut tahun ini dan tahun seterusnya.

“Ini kerana biasanya angka yang commit atau pun angka pelaburan yang kita rekodkan itu memerlukan tempoh sehingga tiga tahun untuk direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas Penyerahan Cek Cura Klinik Kesihatan Johor Bahru di Medan Niaga Kampung Melayu Majidee di sini hari ini.

Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata, ekonomi Johor berkembang pada kadar lapan peratus iaitu sebanyak RM170.9 bilion sepanjang tahun lalu iaitu antara yang tertinggi dalam negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, Klinik Kesihatan Majidee yang baharu dengan kos sehingga RM80 juta dan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh lima tahun.

Katanya, cadangan pembinaan klinik berkenaan sudah diperakukan di peringkat Kementerian Ekonomi sebelum diangkat untuk pertimbangan Kementerian Kewangan menerusi Belanjawan akan datang.

Jelasnya, lokasi yang dipersetujui adalah tanah milik Kementerian Kesihatan (KKM) di kawasan antara Taman Suria, Majidee Park, Kebun Teh dan Kampung Kurnia.

“Anggarannya kos mungkin mencecah sehingga RM80 juta. Cuma perincian atau jumlah sebenar kita tunggu Belanjawan yang akan dibentangkan nanti.

“Saya sudah meninjau kawasan berkenaan bulan lalu dan mencapai kata sepakat bahawa lokasi itu paling sesuai untuk pembinaan klinik baharu ini,” katanya.

Berdasarkan unjuran awal katanya, tempoh pelaksanaan projek itu dijangka merangkumi kerja awal, kajian dan pembinaan yang keseluruhannya mengambil masa kira-kira lima tahun.

Tambahnya, klinik baharu itu dicadangkan sebagai Klinik Kesihatan Kelas Dua bagi memenuhi keperluan penduduk susulan kepadatan demografi di kawasan Johor Bahru.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here