Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez

KUALA LUMPUR – Rakyat memerlukan penyelesaian tuntas terhadap isu bil elektrik yang dikatakan semakin tinggi sekarang dan bukannya mencari pihak untuk dipersalahkan, kata Exco Pemuda UMNO Malaysia, Azman Azeez.

Sehubungan itu, beliau berpendapat, kerajaan tidak perlu mewujudkan sistem bantuan elektrik baharu yang terlalu kompleks, sebaliknya memperbaiki mekanisme sedia ada supaya bantuan lebih bersasar dan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.

Antara cadangan dikemukakan ialah pemberian rebat berdasarkan pendapatan dan bukan penggunaan elektrik semata-mata.

Dengan pemanfaatan data serta mekanisme perlindungan data yang sewajarnya, kerajaan boleh mengenal pasti isi rumah B40 dan M40 bawahan yang memerlukan bantuan.

“Sebagai contoh, keluarga berpendapatan rendah yang menggunakan lebih banyak elektrik kerana mempunyai anak kecil, warga emas atau keadaan kediaman tertentu tidak seharusnya dilihat semata-mata melalui angka kilowat jam (kWh). Kita mesti melihat kemampuan membayar, bukan penggunaan semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam masa sama, Azman mencadangkan sebahagian dana subsidi jangka pendek dipertimbangkan untuk disalurkan kepada geran atau pembiayaan mudah pemasangan solar bumbung bagi isi rumah yang layak.

Malaysia, ujarnya, sudah mempunyai pengalaman melalui program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) Rakyat sebelum pendekatan solar bumbung diteruskan menerusi Solar ATAP mulai 2026.

“Subsidi bukan sekadar untuk mengurangkan bil bulan ini. Kita juga perlu membantu rakyat mengurangkan bil mereka untuk lima, 10 atau 20 tahun akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, bantuan pemasangan solar tidak wajar diberikan secara pukal kepada semua golongan, sebaliknya disasarkan kepada keluarga yang layak menerusi pembiayaan tidak membebankan serta proses permohonan yang mudah.

Azman turut mencadangkan lebih banyak pilihan diberikan kepada pengguna untuk mengurus penggunaan elektrik, termasuk memperluas dan mempermudah skim tarif waktu penggunaan (Time-of-Use) supaya pengguna yang mampu mengubah waktu penggunaan dapat menikmati kadar luar waktu puncak.

Beliau turut menekankan aspek ketelusan dalam penetapan dan perubahan tarif elektrik, termasuk penjelasan sekiranya kos bahan api meningkat, kos penjanaan menurun atau terdapat ruang untuk mengurangkan kos sistem.

“Rakyat tidak sepatutnya hanya menerima angka di hujung bil tanpa benar-benar memahami bagaimana angka itu terbentuk.

“Pendirian parti politik dalam isu ini mesti lebih daripada sekadar mengkritik kenaikan tarif. Kita mesti berani membawa cadangan yang boleh dilaksanakan.

“Bantuan elektrik mesti lebih bersasar, subsidi mesti lebih bijak, pelaburan tenaga mesti melihat jangka panjang dan rakyat mesti mendapat perlindungan apabila kos tenaga meningkat,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, struktur tarif elektrik di Semenanjung ketika ini mempunyai dua komponen utama iaitu tarif asas dan mekanisme Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA), yang berubah mengikut kos bahan api, kos di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dan Perjanjian Perkhidmatan (SLA) serta beberapa kos penjanaan lain.

Namun katanya, penjelasan mengenai mekanisme sahaja tidak mencukupi kerana rakyat mahukan penyelesaian tuntas untuk masa sekarang dan jangka panjang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here