KOTA TINGGI – Seorang lelaki maut dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 24.0 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan tersebut yang mengorbankan Syed Muhammad Khairuddin Syed Nordin daripada orang awam pada pukul 8.20 pagi.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda City dipandu seorang lelaki tempatan, 27, sebuah Perodua Myvi hijau dipandu lelaki tempatan, 34, sebuah BYD dipandu lelaki tempatan, 37, dan Perodua Myvi kuning dipandu lelaki tempatan, 30.
“Punca kemalangan apabila Perodua Myvi kuning melanggar belakang ketika semua kenderaan sedang berhenti lampu isyarat merah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut pemandu Perodua Myvi kuning cedera parah di bahagian dalaman badan serta meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, mayat dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi manakala semua pemandu kenderaan lain tidak cedera.
Menurutnya, kes masih dalam siasatan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan penjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000.
Tambahnya, ini termasuk hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun.- MalaysiaGazette
















