Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin
Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin

SEPANG – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dijangka pulang ke Negeri Sembilan malam ini bagi melihat dan menyelesaikan kemelut yang berlaku di negeri itu mengikut undang-undang.

Pengerusi Sekretariat Taat Setia Sokongan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, Tuanku Muhriz dijangka tiba sekitar jam 9.50 malam.

Katanya, Tuanku Muhriz sebagai pemerintah yang dekat dengan rakyat mahu memastikan kemelut berkenaan diselesaikan dengan baik dan berdasarkan undang-undang yang ada.

“Tuanku Muhriz tiada apa-apa berlaku. Kebawah Duli balik pada malam ini 9.50 malam insya-Allah. Baginda balik untuk melihat dan ingin menyesuaikan masalah ini kerana kita telah jelas dan tahu apa yang telah dimaklumkan oleh pihak DKU.

“Apa yang dibuat oleh kesemua Exco ini adalah tidak bertanggungjawab dan saya rasa sebagai seorang Tuanku yang sangat rapat dan berjiwa rakyat memang ingin menyelesaikan kemelut ini dengan baik dan mengikut undang-undang yang ada,” katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebentar tadi.

Kenyataan itu dibuat ketika Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim hari ini mengesahkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) berhubung kedudukan Tuanku Muhriz.

Ismail berkata, Surat Cara Proklamasi telah dibincangkan dan diputuskan secara sebulat suara oleh semua ahli Exco dalam mesyuarat pada 15 September lalu.

“Proses pewartaan sudah pun Exco minta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk meneruskan pewartaan dengan mengikut peraturan sedia ada,” katanya, hari ini.

Semalam, MMK Negeri Sembilan dilaporkan membuat keputusan kolektif bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah sah, selain mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah baharu.

Bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan hari ini menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah dan menyifatkan keputusan MMK berhubung kedudukan baginda sebagai tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang. DKU turut menegaskan kesahan proklamasi berkenaan perlu ditentukan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah.

Mengulas perkembangan itu, Megat berkata semua pihak perlu menghormati proses undang-undang dan menunggu proses mahkamah.

Beliau mendakwa tindakan beberapa pihak dalam kemelut berkenaan tidak bertanggungjawab serta menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here