KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung ucapan perwakilan Selangor Datuk Noorazli Said semasa Perhimpunan Agung UMNO 2026 akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara esok untuk arahan dan nasihat selanjutnya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata setakat ini sebanyak 86 laporan polis telah diterima dan 93 orang saksi telah dirakam percakapan melibatkan orang awam, pihak penganjur, perwakilan UMNO serta Noorazli.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan atau menyalahgunakan kemudahan mahupun perkhidmatan rangkaian bagi menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Kumar berkata kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan ruang digital kekal selamat, di samping memupuk budaya komunikasi yang matang serta saling menghormati demi kesejahteraan sosial dan kestabilan negara.
Noorazli mencetuskan kontroversi apabila menjadikan paderi Katolik dan biarawati sebagai bahan jenaka semasa berucap di Perhimpunan Agung UMNO, minggu lepas. -MalaysiaGazette
















