KUALA LUMPUR – Pas mendesak pihak berkuasa segera mengenal pasti penganjur dan semua individu yang terlibat, lokasi sebenar pementasan serta kewarganegaraan mereka yang terlibat dalam pementasan kontroversi yang didakwa mempersendakan Rukun Negara.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, jika pementasan itu dilakukan di luar negara dan melibatkan rakyat Malaysia, Peguam Negara perlu menentukan undang-undang yang mempunyai bidang kuasa terhadap perbuatan tersebut.
Selain itu, katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga perlu menyiasat aspek penyebaran kandungan tersebut kepada orang ramai.
“Seksyen 4 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mempunyai peruntukan mengenai pemakaian wilayah dan luar wilayah Akta tersebut, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kepada kontroversi sebuah video pementasan yang mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi raja, negara Malaysia serta Rukun Negara seperti yang tular sejak semalam.
Tambahnya, jika pementasan itu benar seperti yang dikhabarkan berlangsung di London, maka Wisma Putra dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom perlu mendapatkan fakta lengkap mengenai penganjur, individu yang terlibat dan status kewarganegaraan mereka.
Dalam masa sama, ujarnya, kerajaan juga perlu menyiasat sama ada terdapat sebarang geran, pembiayaan atau sokongan daripada mana-mana agensi kerajaan Malaysia.
Menurutnya, jika terbukti terdapat warganegara Malaysia yang terlibat dan mereka memperoleh kewarganegaraan melalui kategori yang tertakluk kepada Perkara 25(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, maka kerajaan perlu mengambil tindakan pelucutan kewarganegaraan.
Jelas beliau, ia sekiranya perbuatan atau percakapan mereka memenuhi ambang yang ditetapkan oleh Perlembagaan, iaitu telah menunjukkan diri mereka sebagai “disloyal or disaffected towards the Federation”.
“Inilah punca kuasa Perlembagaan yang tersedia dan kerajaan tidak seharusnya takut menggunakannya apabila syarat undang undang dipenuhi,” katanya. – MalaysiaGazette
















