Keadaan Proton Wira dinaiki pasangan warga emas selepas bertembung dengan Toyota Camry di Jalan Kluang-Teck Wah Heng, Kluang, semalam.

KLUANG – Seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya parah dalam kemalangan dua buah kenderaan di kilometer 10, Jalan Kluang-Teck Wah Heng berhampiran kilang Guocera di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Husin berkata, kejadian pukul 1.50 petang itu melibatkan Tai Ah Kau, 77, yang menaiki kereta Proton Wira bersama-sama isterinya Tjihin Sioe Lan, 70.

“Mereka dalam perjalanan dari arah bandar Kluang ke Simpang Renggam, manakala kereta Toyota Camry dipandu lelaki berusia 26 tahun datang dari arah bertentangan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta Toyota Camry secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Proton Wira dinaiki pasangan warga emas berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keadaan Toyota Camry dipandu seorang lelaki selepas bertembung dengan Proton Wira dinaiki pasangan warga emas dalam kejadian di Jalan Kluang-Teck Wah Heng berhampiran kilang Guocera

Beliau berkata, akibat pertembungan itu, Ah Kau cedera parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, isteri mangsa cedera parah di bahagian kepala dan sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.

Menurut Nik Mohd Azmi, pemandu Toyota Camry cedera di bahagian tangan kanan, rusuk sebelah kanan, leher serta dada menerima rawatan di Zon Kuning HEBHK.

“Mayat mangsa dirujuk ke unit forensik HEBHK untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here