Dr Fuziah Salleh.

KUANTAN – Kerjasama politik PH bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih belum diputuskan, namun Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi isyarat jelas bahawa jentera parti itu tetap bersedia untuk berdepan mana-mana lawan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, apa sahaja keputusan berhubung bentuk kerjasama politik PH tidak akan mengubah kesiapsiagaan parti itu menghadapi PRN berkenaan.

“Bagi Keadilan (PKR), lawan tetap lawan. Whatever the outcome is, kita bersedia untuk lawan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata demikian pada sidang media selepas Program Madani Kita (PMK) di Dewan Serbaguna Sungai Isap Damai di sini, hari ini.

Fuziah Salleh menyampaikan sumbangan pada Program Madani Kita (PMK) di Dewan Serbaguna Sungai Isap Damai di sini, hari ini.

Fuziah berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan PH menjalinkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka.

Bagaimanapun, katanya, PH setakat ini masih belum membuat sebarang ketetapan rasmi berhubung kerjasama dengan mana-mana parti politik.

Malah, mengulas khabar angin mengenai kemungkinan PH bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Fuziah berkata, tiada sebarang perkara rasmi atau pengumuman dibuat setakat ini.

Dalam pada itu, Fuziah turut menegaskan pendirian PH untuk terus membanteras rasuah dan tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku atau penyalahgunaan kuasa.

Katanya, pendirian itu selari dengan pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, nasihat Peguam Negara, Tan Sri Dusuki Mokhtar serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

“Majlis Presiden PH kekal teguh menyokong pendirian Perdana Menteri, nasihat Peguam Negara Tan Sri Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh bahawa Perlembagaan itu ‘supreme’.

No one is above the law dan Perlembagaan, PH akan terus membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dan tidak akan sesekali menerima keadaan di mana ada berlaku rasuah dan penyelewengan katanya,” tambahnya.

Semalam, media melaporkan Majlis Presiden PH menegaskan bahawa tiada mana-mana individu berada di atas undang-undang dan sesiapa yang disabitkan dengan kesalahan mesti menjalani hukuman mengikut Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang sedia ada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here