KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mempersoalkan ketegasan kepimpinan kerajaan dalam menangani beberapa isu yang sedang menjadi perhatian umum termasuk perkembangan membabitkan Negeri Sembilan dan isu pengampunan.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Zaid mendakwa kelemahan kepimpinan menyebabkan negara berdepan pelbagai masalah yang sepatutnya boleh diselesaikan menerusi pendekatan lebih berkesan.
“Pemimpin yang lemah telah membawa negara ke dalam keadaan kucar-kacir. Isu Negeri Sembilan boleh diselesaikan dengan penglibatan yang sewajarnya dan tidak dibiarkan berlarutan,” katanya.
Beliau turut menyentuh isu pengampunan yang menurutnya pada asalnya bukan menjadi pertikaian sehingga didakwa dipolitikkan oleh kerajaan.
Jelasnya, selama ini pengampunan tidak pernah menjadi isu sehingga kerajaan ini menjadikannya politik namun kini ia berkembang menjadi sesuatu yang lain.
Dalam pada itu, beliai turut mendakwa perkembangan berkaitan Sabah dan Sarawak turut menunjukkan cabaran terhadap hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Borneo.
“Borneo kini memberitahu semua pihak supaya tidak campur tangan dalam urusan mereka kerana mereka boleh membuli Putrajaya yang lemah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan antara calon yang berhasrat menjadi Perdana Menteri, siapakah yang mempunyai ketegasan untuk memimpin negara.
“Jadi persoalannya, daripada semua yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri, siapakah yang paling tegas? Kita memerlukan pemimpin yang kuat dan tidak takut untuk membuat keputusan,” katanya. – MalaysiaGazette
















