KUALA LUMPUR – Cadangan menggubal Akta Tahanan Rumah yang dibawa sejak 2024 bertujuan untuk menangani kesesakan penjara, khususnya membabitkan tahanan reman yang masih menunggu proses perbicaraan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan itu membolehkan tahanan reman yang memenuhi syarat ditempatkan di rumah dan dipantau menggunakan peranti elektronik sehingga tarikh perbicaraan, tertakluk kepada pertimbangan mahkamah.
Jelasnya, secara dasarnya, Kabinet juga telah memberikan persetujuan kepada KDN untuk memulakan proses penggubalan undang-undang ini.
Namun, kes-kes jenayah berat dikecualikan daripada mekanisme ini.
“Matlamat asalnya kekal, mengurangkan kesesakan penjara dan memastikan sistem koreksional negara dapat diurus dengan lebih berkesan.
“Itulah konteks dan maksud asal Akta Tahanan Rumah yang telah kita bincangkan sejak awal,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurutnya, ketika ini 41 penjara di seluruh negara menempatkan kira-kira 93,000 penghuni, sedangkan kapasiti keseluruhannya hanya sekitar 75,000 orang.
Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan keperluan memperkenalkan pendekatan baharu yang praktikal, selamat dan terkawal bagi mengurangkan tekanan terhadap institusi penjara.
Semalam, Saifuddin dilaporkan berkata KDN dan Jabatan Penjara Malaysia masih menunggu surat rasmi berhubung keputusan Lembaga Pengampunan mengenai pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Tambahnya, surat rasmi itu perlu diteliti bagi menentukan butiran keputusan berkenaan, termasuk sama ada lokasi tahanan rumah ditetapkan Lembaga Pengampunan atau diserahkan kepada Jabatan Penjara untuk dilaksanakan. – MalaysiaGazette
















