Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Tindakan Setiausaha Agung DAP, Antony Loke menawarkan peletakan jawatan dalam Kabinet, didakwa sebagai tindakan hipokrasi untuk menjaga kelangsungan parti.

Bekas Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, jika parti itu mempunyai prinsip mengapa hanya seorang sahaja yang berprinsip dan menawarkan diri untuk meletak jawatan.

“DAP terpaksa berbuat demikian kerana mahu mengekalkan sokongan pengundi Cina, bukan disebabkan prinsip,” dakwa beliau menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook hari ini.

Aminuddin yang kini menganggotai Parti Wawasan Negara (Wawasan) mengulas laporan media semalam bahawa Anthony menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengadakan perbincangan kira-kira tiga jam bagi menentukan pendirian dan tindakan parti susulan keputusan membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Dalam hantaran itu, Aminuddin turut mempersoal sama ada DAP tidak bersetuju dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Adakah DAP cuba utk challenge (cabar) kuasa YDPA dan cabar Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan baginda kuasa pengampunan?

“Sesuatu bangkangan atau protes boleh di buat dalam pelbagai bentuk sama ada melalui tulisan, perkataan atau perbuatan.

“Dalam Rukun Negara ada disebutkan `Ketaatan kepada pd Raja dan Negara’. Apakah DAP sudah tidak taat kepada YDPA?” persoal beliau.

Menurut Aminuddin, tindakan DAP itu perlu dikaji secara halus, tersurat dan tersirat kerana tindakannya melambangkan sikap parti dan pemikiran parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here