KOTA TINGGI – Peperangan alaf baharu tidak lagi bergantung dengan kekuatan senjata semata-mata, sebaliknya turut melibatkan usaha menguasai pemikiran dan mempengaruhi pendirian masyarakat melalui media sosial.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ancaman keselamatan kini semakin kompleks apabila wujud pendekatan yang menyasarkan minda manusia menerusi apa yang dikenali sebagai peperangan kognitif.
Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata, masyarakat sebelum ini mungkin menganggap ancaman peperangan hanya berkait dengan serangan bersenjata, namun bentuk ancaman masa kini turut merangkumi usaha mempengaruhi pemikiran dan pandangan masyarakat.
“Apabila kita bercakap mengenai cabaran dan ancaman, kita mungkin ingat soal peperangan, soal serangan senjata, tetapi hari ini ancaman dan cabaran bukan lagi pendekatannya begitu.
“Antara lain, hari ini ada apa yang dipanggil sebagai peperangan kognitif, peperangan menguasai minda,” katanya.
Beliau berkata ketika berucap dalam Majlis sambutan Maulidul Rasul 1448/2026 Peringkat Parlimen Kota Tinggi di Dewan Besar Felda Air Tawar 2 di sini hari ini.
Katanya, usaha mempengaruhi masyarakat boleh dilakukan secara halus melalui kandungan yang disebarkan dalam media sosial, termasuk perkara berkaitan pendirian, pandangan serta pegangan terhadap isu yang dekat dengan kehidupan mereka.
Perkembangan teknologi digital menjadikan media sosial antara medan baharu yang boleh digunakan pihak tertentu untuk membentuk persepsi dan pemikiran masyarakat tanpa memerlukan sebarang serangan fizikal, katanya.
Khaled berkata, masyarakat perlu menyedari bahawa kandungan yang diterima menerusi platform digital tidak semestinya datang daripada sumber yang diketahui atau boleh dipercayai.
“Kalau kita terbaca baru-baru ini, pada masa pilihan raya yang lepas, terdapat kewujudan kira-kira 1,000 akaun dalam media sosial yang tidak diketahui dari mana asalnya.
“Bukan daripada dalam negara, tetapi daripada luar negara, wujud akaun yang bercakap dan menulis mengenai pelbagai perkara yang boleh mempengaruhi kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya lebih berwaspada terhadap kandungan media sosial serta menilai kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
Ujarnya, kekuatan pertahanan negara pada era baharu bukan hanya bergantung kepada kesiapsiagaan anggota dan aset ketenteraan, tetapi turut memerlukan masyarakat yang mempunyai daya fikir kritikal serta tidak mudah dipengaruhi.
Mohamed Khaled berkata, kesedaran mengenai ancaman peperangan kognitif penting bagi memastikan masyarakat mampu mempertahankan pemikiran, nilai dan jati diri daripada pengaruh yang boleh menggugat keharmonian negara.- MalaysiaGazette
















