DAR ES SALAAM, Tanzania – Sebanyak 10 ekor singa ditemui mati dalam kejadian yang disyaki berpunca daripada keracunan di Kawasan Pemuliharaan Ngorongoro, Tanzania yang disenaraikan sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO.
Pihak berkuasa berkata, kesemua singa itu ditemui mati pada 18 September lalu di kawasan Ndutu.
“Pihak Berkuasa Kawasan Pemuliharaan Ngorongoro (NCAA) dukacita memaklumkan kepada orang ramai bahawa 10 ekor singa ditemui mati pada 18 September 2026 di kawasan Ndutu,” menurut kenyataan yang dikeluarkan lewat hari Sabtu.
Menurut pihak berkuasa, penemuan awal menunjukkan singa berkenaan mati selepas “termakan racun”.
Siasatan pakar sedang dijalankan bagi menentukan punca sebenar kejadian serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Kawasan Ngorongoro sebelum ini berdepan ketegangan berpanjangan antara pihak berkuasa dengan komuniti nomad tempatan.
Pertembungan antara kedua-dua pihak ada kalanya membawa kepada kejadian maut sejak kerajaan melancarkan program pengusiran pada 2022.
Kerajaan Tanzania mendakwa pertumbuhan penduduk semakin menceroboh habitat hidupan liar, dengan jumlah penduduk yang tinggal di Ngorongoro meningkat daripada kira-kira 8,000 orang pada 1959 kepada lebih 100,000 orang.
Sementara itu, sekurang-kurangnya 20 ekor gajah dilaporkan mati sejak Jun lalu dalam ekosistem Amboseli, Kenya berhampiran sempadan Tanzania, akibat keracunan racun perosak.
Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum dapat menentukan sama ada kematian gajah berkenaan berlaku secara tidak sengaja atau disengajakan. – Agensi
















