KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencuri perhatian apabila memuat naik `puisi kecewa’ menerusi laman sosial Facebooknya, Media Team Dr MAZA hari ini.
Menerusi puisi berjudul `Masihkah Kau Mahu Percaya’ itu, beliau yang lebih dikenali sebagai Dr Maza seolah-olah membangkitkan berkenaan perkembangan politik semasa negara berdasarkan pemilihan beberapa perkataan.
Antaranya perkataan `sakau’, ayat `sudah turunkah harga’ serta `kisah rasuah, tiada bezanya’.
Berikut dikongsikan `puisi kecewa’ penuh nukilan Dr Maza itu yang dipercayai dinukilkan beliau di Makkah, berdasarkan nota yang dikongsikan.
Masihkah Kau Mahu Percaya?
“Masihkah ingin kau percaya pada mereka?
“jika kita berkuasa, perubahan menjelma”
Apakah yang kau rasa akhirnya? Sendiwara?
Sudah turunkah harga, sudah jujurkah segala?
Sudah hilangkah cerita sakau yang mereka kata?
Atau, hanya untuk yang berbeda namanya sakau
Adapun mereka pula namanya sekadar tapau
Guna agama, serupa sahaja. Habis berjuta
Sekadar untuk menghasilkan satu cerita
Tiada apa yang membangunkan minda
Pesta bergambar bersama untuk pilihanraya
Kisah rasuah, tiada bezanya. Kita serupa
Dahulu kau rasa, sekarang aku pula
Kita melindungi sesama, ukhuwwah yang setia
Agama mereka tidak yang membangunkan pertiwi
Hanya setakat menunjukkan zikir untuk media puji
Mengapakah tidak tentang negara acuan Nabi?
Telah tinggikah integriti seperti yang dijanji
Telah dibaikikah adab dan budi muda mudi
Telah dipeliharakah Islam sebagai identiti
Akhirnya, kau menyaksikan semuanya
kiblat mereka sebenarnya adalah kuasa
Itulah segala. Kita hanya menukar nama,
mengubah warna, dan slogan berbunyi agama
Intinya tetap sama..
Masihkah ingin kau percaya?”
Dr Maza sebelum ini turut dikenali sebagai seorang tokoh agama yang turut melantang mengkritik serta mengulas mengenai isu-isu semasa termasuk berkaitan politik. – MalaysiaGazette
















