KUALA LUMPUR – Beberapa pemimpin DAP lain termasuk Pengerusi Kebangsaan Gobind Singh Deo dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan Nga Kor Ming, dilaporkan turut menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet ketika mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP semalam.
Menurut laporan portal Oriental Daily yang memetik sumber, idea mengenai `peletakan jawatan secara beramai-ramai’ oleh barisan menteri dan timbalan menteri DAP itu sememangnya timbul dalam mesyuarat tersebut.
“Sebenarnya, mesyuarat pada satu ketika hampir menemui jalan buntu… Nga Kor Ming ketika itu juga pernah mencadangkan supaya mereka meletakkan jawatan bersama.
“Tidak masuk akal kalau Setiausaha Agung sahaja yang meletakkan jawatan — bagaimana pula dengan yang lain? Pada awalnya, hampir semua berpandangan kalau mahu letak jawatan, biarlah bersama; kalau mahu kekal, biarlah semua kekal,” demikian menurut laporan itu.
Bagaimanapun, laporan itu menambah, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mempertahankan pendiriannya iaitu hanya beliau meletakkan jawatan Menteri Pengangkutan, walaupun berdepan pandangan berbeza.
Malah, katanya, Anthony Loke turut menjelaskan mengapa beliau sendiri perlu meletakkan jawatan dan mengapa pemimpin DAP yang lain perlu terus kekal dalam kerajaan, sebelum akhirnya ahli mesyuarat menerima cadangan tersebut.
“Kalau Setiausaha Agung letak jawatan, kemudian Nga Kor Ming letak jawatan, Gobind Singh pula ikut, selepas itu Hannah Yeoh juga letak jawatan, itu sudah menjadi peletakan jawatan beramai-ramai,” katanya.
Sumber itu menambah, DAP pada ketika itu perlu mencari keseimbangan antara tanggungjawab moral dalam politik dengan risiko politik yang bakal dihadapi.
“Bukannya kami (DAP) tidak mempertimbangkan implikasi sekiranya keluar sepenuhnya daripada kerajaan.
“Tetapi kami berpandangan bahawa keadaan sekarang bukan masanya untuk mendorong peletakan jawatan beramai-ramai atau pembubaran Parlimen.
“Selepas peletakan jawatan secara menyeluruh, masih terdapat banyak kemungkinan lain yang boleh berlaku,” katanya.
Menurut sumber itu lagi, walaupun mesyuarat itu pada satu ketika menemui kebuntuan dan kemungkinan berlakunya “peletakan jawatan beramai-ramai”, Anthony Loke akhirnya bertegas bahawa beliau sendiri akan mewakili DAP dengan meletakkan jawatan bagi menyatakan pendirian parti, manakala pemimpin lain perlu terus kekal dalam kerajaan dan memikul tekanan yang menyusul.
Katanya, walaupun Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kini berdepan desakan daripada beberapa pemimpin Melayu supaya turut meletakkan jawatan, Anthony oke akhirnya berjaya meyakinkan semua pihak bahawa sekiranya seseorang perlu tampil mewakili pendirian parti, individu tersebut mestilah pemimpin tertinggi parti iaitu beliau sendiri selaku Setiausaha Agung.
Pada masa sama, katanya, pemimpin DAP yang lain perlu terus berada dalam kerajaan dan memikul tanggungjawab mereka bagi memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan yang bertunjangkan Pakatan Harapan.
“Memang Anthony Loke menunjukkan keberanian dengan meletakkan jawatan, tetapi Nga Kor Ming juga memerlukan keberanian politik yang lebih besar untuk terus kekal, kerana tekanan dan serangan yang bakal dihadapinya selepas ini boleh dijangka akan menjadi lebih kuat,” kata sumber itu.
Semalam, Anthony Loke mengumumkan akan meletak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, sebagai tindak balas DAP terhadap keputusan tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, Anthony Loke dilaporkan berkata, menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan.
Jumaat lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan Najib, 73, mendapat pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk syarat ditetapkan termasuk membayar denda RM50 juta. – MalaysiaGazette
















