PORT DICKSON – Bermula tanpa asas dalam bidang animasi 2D, pasangan kembar Ahmad Arif dan Ahmad Afiq membuktikan kesungguhan dan usaha gigih mampu mengubah diri daripada ‘zero’ menjadi ‘hero’.
Kedua-duanya, yang merupakan graduan Kolej Komuniti Segamat, menerima Anugerah Pengarah bagi program Sijil Teknologi Maklumat pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Johor 2026 yang berlangsung di Politeknik Premier Port Dickson, di sini, barup-baru ini.
Menurut pasangan kembar berusia 21 tahun itu, mereka sentiasa berusaha lebih gigih dengan memperuntukkan kira-kira tiga jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran.
Anak kelima dan keenam daripada enam beradik yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu berkata, mereka turut menjadikan YouTube dan Google sebagai sumber rujukan tambahan selain mendapatkan bimbingan daripada pensyarah.
“Perjuangan ini memang tidak mudah kerana kami sangat struggle untuk memahami sesuatu topik. Namun, cabaran itu kami jadikan sebagai pembakar semangat, ditambah pula dengan sokongan para pensyarah yang sentiasa memberi dorongan.
“Pada masa sama, kami turut mendapatkan tunjuk ajar daripada senior serta memanfaatkan aplikasi ChatGPT untuk membantu memahami topik yang sukar,” kata mereka ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Johor 2026 yang berlangsung di Politeknik Premier Port Dickson, di sini.
Kejayaan pasangan kembar itu menjadi bukti bahawa kekurangan asas dalam sesuatu bidang bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan sekiranya disertai kesungguhan, disiplin dan keinginan untuk terus belajar.
Pada majlis berkenaan, seramai 855 graduan menerima diploma dan sijil masing-masing. Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Ahmad Rizal Adnan. – MalaysiaGazette
















