KUALA LUMPUR – Perkembangan terbaharu membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berpotensi mencetuskan momentum baharu kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, terutama dalam menggerakkan semula akar umbi serta penyokong tradisional parti itu.
Penganalisis politik, Datuk Prof Dr. Sivamurugan Pandian berkata, walaupun terdapat dakwaan penyokong tegar Pakatan Harapan (PH) bahawa perkembangan tersebut tidak akan memberi kesan politik kepada UMNO-BN tetapi situasi sebaliknya boleh berlaku apabila ia diterjemahkan kepada semangat, perpaduan dan mobilisasi akar umbi.
Menurut beliau, sentimen terhadap Najib berpotensi menjadi pencetus kepada pengaktifan semula sokongan tradisional UMNO yang melihat perkembangan berkenaan sebagai sesuatu yang positif.
“Walaupun ada dakwaan seperti itu yang datang daripada penyokong tegar PH, ia juga boleh membina momentum baharu kepada UMNO/BN.
“Ini kerana isu ini mampu menggerakkan semula akar umbi dan penyokong tradisional UMNO yang melihat perkembangan tersebut sebagai satu perkembangan positif,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Sivamurugan juga berkata, faktor Najib bukan sesuatu yang boleh diketepikan dalam menilai kemenangan besar BN pada PRN Melaka pada 2021.
“Pada pilihan raya itu, BN memenangi 21 dari 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi. Kadar keluar mengundi pula ialah 65.85 peratus,” katanya.
Menurut beliau, pengalaman PRN Melaka 2021 menunjukkan sentimen berkaitan Najib mempunyai tempat dalam dinamika politik UMNO dan BN, khususnya dalam kalangan penyokong akar umbi.
“Antara faktor penyumbang kepada kemenangan BN di PRN Melaka 2021 adalah faktor Najib.
“Menjelang PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kesannya banyak bergantung kepada bagaimana UMNO mengurus sentimen itu dan melangkaui kedudukan dalam kerajaan,” katanya.
Namun, beliau menegaskan sentimen semata-mata tidak memadai untuk diterjemahkan kepada kemenangan pilihan raya.
“Sebaliknya, UMNO perlu memastikan sentimen berkenaan dapat diterjemahkan kepada gerak kerja tersusun, perpaduan dalaman dan mobilisasi jentera di peringkat akar umbi.
“Namun UMNO tetap perlu membawa naratif lebih luas sebagaimana di Johor dan Negeri Sembilan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















