Siasatan awal mendapati kesemua kenderaan terbabit sedang bergerak dari arah Meru menghala ke Tambun, sebelum terlibat dalam kemalangan berkenaan. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Waris dua remaja yang meninggal dunia dalam nahas membabitkan 12 motosikal dan tiga kereta di Jalan Jelapang-Ampang, Ipoh, Perak minggu lalu, layak menerima faedah- faedah LINDUNG 24 jam walaupun baru bekerja kira-kira setahun.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkata, berdasarkan rekod, allahyarham Izdihar Rafiq Sarajil Korin mula mencarum apabila diambil bekerja pada Januari tahun ini.

Manakala rakannya, Muhamad Faiz Danial Jumri yang turut maut dalam insiden sama kelmarin, disahkan berkhidmat sejak Ogos tahun lalu.

Kedua-duanya berusia 19 tahun.

“Meskipun kemalangan berlaku di luar waktu kerja, nasib waris iaitu ibu bapa dan adik-beradik mangsa yang mungkin sebelum ini pernah bergantung harap pada arwah, masih tetap terbela.

Inilah tujuan sebenar LINDUNG 24 Jam diwujudkan kerana ia masih menyediakan jaminan kelangsungan kehidupan bagi kes kemalangan di luar waktu pejabat, meskipun pekerja baru sahaja mula mencarum dengan PERKESO.

“Kehilangan insan tersayang memang tiada galang ganti, tetapi sekurang-kurangnya arwah pergi meninggalkan khidmat bakti menerusi faedah PERKESO yang terus mengalir untuk keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, waris Allahyarham Muhammad Izdihar, layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM945, mengikut syer masing-masing, dengan ibu dan bapanya mendapat bayaran berkenaan untuk sepanjang hayat manakala tiga adik arwah menerima manfaat sama sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian peringkat ijazah.

Bagi Allahyarham Muhamad Faiz, bayaran FOT sebanyak RM891, mengikut syer masing-masing, akan disalurkan untuk sepanjang hayat kepada ibu bapanya, manakala seorang adik arwah menerima manfaat sama sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian peringkat ijazah.

Selain itu, kedua-dua waris mangsa layak menerima Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM3,000 secara sekali bayar.

LINDUNG 24 Jam memperuntukkan kelangsungan gantian pendapatan dalam jangka panjang kepada waris sekiranya berlaku insiden tidak terduga terhadap pencarum.

Sehubungan itu, jumlah keseluruhan bayaran pencen berkala menerusi FOT untuk tempoh 15 tahun kepada waris mangsa dalam kes kemalangan tragis ini menjangkau lebih RM275,000. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here