KUALA LUMPUR – Polis masih belum menerima pengesahan rasmi sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dikenakan tahanan rumah di kediamannya di Jalan Langgak Duta di sini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, perkembangan terkini itu menyaksikan penempatan jumlah anggota polis bertugas di kawasan kediaman itu kekal seperti yang diumumkan.
“Jika terdapat perkembangan atau maklumat terkini yang mengesahkan tahanan rumah Datuk Seri Najib akan dilaksanakan di Jalan Langgak Duta, kami akan menambah kekuatan anggota,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Ditanya sama ada polis telah menerima pengesahan waktu Najib akan dipindahkan dari penjara, Anuar Bakri menyatakan tiada maklumat sedemikian diterima.
“Belum lagi dan pihak saya belum menerima sebarang maklumat,” katanya.
Sejak pukul 7 pagi tadi, sebuah balai polis bergerak ditempatkan di hadapan kediaman Najib dengan bantuan beberapa anggota polis serta dua unit kereta peronda polis (MPV).
Semalam, Anuar Bakri memaklumkan sebuah balai polis bergerak yang merupakan kenderaan van sebagai sebahagian daripada persediaan keselamatan bagi sebarang kemungkinan pemindahan bekas pemimpin utama negara itu dari penjara.
Beliau berkata, penempatan itu bertujuan melancarkan aspek keselamatan semasa proses pemindahan, menguruskan kehadiran media tempatan dan asing serta penyokong selain mencegah kesesakan lalu lintas.
Pada masa sama, Anuar Bakri memberitahu, tanggungjawab mengawasi Najib sekiranya menjalani tahanan rumah adalah di bawah Jabatan Penjara Malaysia dan bukannya Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sabtu lalu, enam pegawai Jabatan Penjara dilaporkan hadir ke kediaman berkenaan bagi menjalankan pemeriksaan dan penilaian.
Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Najib, 73, sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 susulan sabitan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. – MalaysiaGazette
















