Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Kerajaan digesa menaikkan cukai jualan terhadap produk rokok menerusi Belanjawan 2027 sebagai langkah mengurangkan kadar merokok, khususnya dalam kalangan golongan muda.

Pegawai Pendidikan Kanan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV. Subbarow berkata, kenaikan harga rokok melalui cukai lebih tinggi dapat menjadikan produk tembakau kurang mampu milik sekali gus menggalakkan perokok mengurangkan atau menghentikan tabiat berkenaan.

Beliau yang juga aktivis antimerokok berkata, langkah itu penting susulan kewujudan perokok dalam kalangan kanak-kanak seawal usia sembilan tahun.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mesti mempertimbang kesihatan generasi akan datang.

“Harga yang lebih tinggi menjadikan produk tembakau kurang mampu milik, sekali gus mengurangi penggunaan keseluruhan dan menggalakkan pengguna berhenti atau mengurangi tabiat merokok mereka.

“Perokok di Malaysia membelanjakan kira-kira RM700 sebulan untuk membeli rokok yang mengandungi sehingga 6,000 bahan kimia,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Tambah Subbarow, CAP juga mahu cukai jualan terhadap rokok diwajibkan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan menangani kesan kesihatan dan ekonomi akibat tabiat merokok.

Katanya, peningkatan cukai tembakau berpotensi mengurangkan perbelanjaan kerajaan bagi rawatan penyakit berkaitan rokok yang kini dianggarkan RM16 bilion secara purata setiap tahun.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan langkah harga dan cukai sebagai cara berkesan bagi mengurangi penggunaan tembakau, satu dasar yang didapati mempunyai kesan positif di banyak negara.

“Kenaikan cukai tembakau Singapura berjaya mengurangkan permintaan rokok keseluruhan dan menurunkan kadar merokok,” katanya.

Beliau berkata, keperluan meningkatkan cukai itu turut mengambil kira jumlah pengguna produk tembakau dan vape di negara ini.

“Di Malaysia sudah terdapat lima juta perokok serta 1.5 juta pengguna vape dan kini statistik baharu mengatakan sebanyak 43,019 pelajar sekolah menengah dan 341 murid sekolah rendah didapati merokok.

“Ia bukan angka yang baik dan tidak baik bagi negara yang sihat.

“Justeru kita berharap kerajaan memberi perhatian terhadap cadangan berkenaan dan mengumumkan langkah berkaitan cukai rokok dalam Belanjawan 2027,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here