Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menjelaskan peruntukan undang-undang yang menjadi sandaran bagi pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, persoalan itu perlu dijawab memandangkan Malaysia ketika ini belum mempunyai undang-undang khusus berkaitan tahanan rumah.

“Saya menghormati kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Keputusan pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak adalah bidang kuasa Perlembagaan dan tidak wajar dipolemikkan sebagai pertentangan dengan institusi Raja.

“Namun persoalan yang perlu dijawab kerajaan sekarang ialah bagaimana keputusan tahanan rumah itu hendak dilaksanakan menurut undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata, Jabatan Penjara Malaysia sendiri sebelum ini menyatakan pihaknya masih menunggu surat rasmi dan perlu memastikan pelaksanaan berkenaan selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan penjara serta tatacara yang sedang berkuat kuasa.

Katanya, kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 20 September bahawa Malaysia belum mempunyai undang-undang khusus mengenai tahanan rumah turut menimbulkan persoalan yang perlu dijawab kerajaan.

“Lebih penting, beliau menjelaskan cadangan Akta Tahanan Rumah yang sedang hendak digubal itu pada asalnya adalah untuk tahanan reman bagi mengatasi kesesakan penjara bukan mekanisme sedia ada bagi pesalah yang telah disabitkan dan sedang menjalani hukuman.

“Maka soalan saya mudah, jika tahanan rumah hendak dilaksanakan, apakah peruntukan undang-undang yang menjadi sandarannya?” soalnya.

Mahfuz menegaskan, beliau tidak mempertikaikan kuasa pengampunan, sebaliknya mempersoalkan mekanisme bagi melaksanakan keputusan tersebut.

“Peguam Negara perlu memberikan penjelasan dan jawapan supaya negara tidak sekali lagi tercalar selepas dunia membicarakan Malaysia dalam isu SRC dan 1MDB,” katanya.

Beliau berkata, kedaulatan undang-undang bukan sekadar disebut dalam Rukun Negara, sebaliknya perlu menjadi prinsip apabila kuasa negara dilaksanakan.

“Jangan sampai rakyat melihat seolah-olah keputusan dibuat dahulu, kemudian undang-undang dicari untuk melaksanakannya. Pengampunan boleh dihormati tetapi kedaulatan undang-undang mesti tetap ditegakkan.

“Jangan jadikan undang-undang seperti payung yang dibuka selepas hujan turun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here