Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang

KUALA LUMPUR – Siasatan secara terperinci dan menyeluruh perlu dijalankan berhubung penerokaan haram di kawasan sekitar Bera, Pahang bagi mengenal pasti pihak yang sebenarnya berada di sebalik kegiatan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang berkata, ia susulan kenyataan media Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) bersama Batin-Batin dan Lembaga Adat Semelai Tasek Bera mendakwa terdapat pihak tertentu melakukan penerokaan haram di kawasan berkenaan.

“Persoalannya, siapakah yang sebenarnya berada di sebalik kesemua ini, sehingga masyarakat Orang Asli dijadikan kambing hitam?

“Siasatan secara terperinci dan menyeluruh perlu dijalankan, manakala hasilnya harus didedahkan kepada orang awam memandangkan ia jelas melibatkan kepentingan awam.

“Ia juga bagi memastikan tidak timbul persepsi bahawa masyarakat Orang Asli yang bersalah,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/09/20/jangan-jadikan-kami-kambing-hitam-sindiket-luar-batin-semelai/

Chun Kuang juga berkata, isu berkenaan turut menunjukkan permasalahan serius berkaitan ketiadaan pewartaan tanah bagi kawasan Orang Asli yang boleh membuka ruang kepada pihak tertentu mengambil kesempatan.

“Keadaan itu termasuk meneroka kawasan secara tidak sah, memusnahkan alam sekitar serta menjejaskan kawasan yang selama ini menjadi tempat masyarakat Orang Asli mencari nafkah,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu turut selaras dengan soalan bertulis yang dikemukakannya sempena sidang Dewan Negeri Pahang pada Mei lalu.

“Berdasarkan jawapan yang diterima, sebanyak 264 kampung Orang Asli di Pahang, namun 30 sahaja yang diwartakan sebagai Kampung Orang Asli dan 234 lagi masih tertangguh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan proses pewartaan berkenaan tidak boleh terus dilengah-lengahkan.

Katanya, selaras dengan titah Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, pewartaan perlu disegerakan supaya kampung serta kawasan yang menjadi sumber kehidupan masyarakat Orang Asli mendapat perlindungan sewajarnya.

“Pewartaan yang jelas juga membantu mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab daripada mengambil kesempatan terhadap kawasan berkenaan, serta melindungi alam sekitar dan sumber kehidupan masyarakat Orang Asli sejak sekian lama,” katanya.

Katanya lagi, beliau memohon semua kerajaan negeri supaya menyelesaikan proses pewartaan kampung dan kawasan Orang Asli yang masih tertangguh.

“Kehidupan masyarakat Orang Asli tidak seharusnya terus berada dalam ketidakpastian disebabkan ketidaktentuan status tanah yang menjadi tempat tinggal dan sumber kehidupan mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here