Reaksi Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook bersalaman bersama Penasihat DAP, Lim Guan Eng (kanan) selepas mengumumkan peletakan jawatan Menteri Pengangkutan pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP di ibu pejabat DAP, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 SEPTEMBER 2026. (Gambar fail).

GEORGE TOWN – Peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada Pulau Pinang berikutan projek pengangkutan bernilai lebih RM21 bilion yang mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan merupakan sumbangan beliau.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, antara projek berkenaan ialah Transit Aliran Ringan (LRT) bernilai RM16.8 bilion, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) RM1.55 bilion, stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) RM30 juta, Pelabuhan Pulau Pinang RM2.2 bilion dan Swettenham Pier RM500 juta.

Menurutnya, Anthony dalam kapasiti sebagai Menteri Pengangkutan bertanggungjawab mendapatkan kelulusan Kerajaan Persekutuan bagi projek-projek berkenaan.

“Dengan projek pengangkutan bernilai RM21 bilion yang telah mendapat kelulusan di Pulau Pinang, Anthony merupakan antara Menteri Pengangkutan paling berkesan yang melakukan paling banyak untuk negeri itu berbanding barisan Menteri Pengangkutan daripada MCA sebelum ini.

“1.8 juta rakyat Pulau Pinang menghargai pengorbanannya yang melepaskan jawatan menteri demi prinsip dan pastinya akan berterima kasih kepada Anthony atas sumbangan besar beliau kepada Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, peletakan jawatan oleh Anthony menunjukkan pendirian tegas parti berhubung skandal 1MDB bernilai RM52 bilion sama ada ketika berada dalam pembangkang mahupun kerajaan bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab dihukum.

“Ia turut menonjolkan ketidaksetujuan parti secara sopan terhadap pengampunan diraja diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membolehkan menjalani baki hukuman dalam bentuk tahanan di rumah selepas membayar denda RM50 juta,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP mengumumkan hasrat meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan pendirian parti berhubung keputusan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib.

Pengumuman itu dibuat selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP bermesyuarat selama hampir tiga jam bagi membincangkan pendirian parti berhubung keputusan tersebut.

Bagaimanapun, keputusan itu hanya membabitkan Anthony sebagai anggota Jemaah Menteri manakala menteri dan timbalan menteri daripada DAP lain kekal dalam Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kestabilan politik dan pentadbiran kerajaan terus berjalan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here