KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan.
Desakan itu susulan keputusan sebulat suara Exco pada 15 September lalu berhubung proklamasi penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Setiausaha Agung Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, pihaknya berpandangan keputusan itu merupakan percubaan mengganggu-gugat Institusi Raja Negeri Sembilan.
“Tindakan dan keputusan Exco tersebut merupakan suatu percubaan mengganggu-gugat Institusi Raja Negeri Sembilan yang perlu disiasat di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan (Akta 574).
“Seksyen 121 Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan melancarkan perang, cuba melancarkan perang atau bersubahat melancarkan perang
terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Nasrul juga berkata, peruntukan itu pernah digunakan dalam kes berkaitan tindakan bersenjata terhadap kedaulatan negara, termasuk kes Al-Ma’unah.
Nasrul menyifatkan keputusan Exco yang menyokong proklamasi penurunan takhta seorang raja yang berdaulat merupakan perkara amat serius.
“Tindakan itu juga boleh mewujudkan duluan yang menjejaskan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta sistem perundangan negara,” katanya.
Nasrul turut mempersoalkan sama ada pertimbangan perundangan sewajarnya dibuat sebelum keputusan itu dipersetujui secara sebulat suara.
“Ia termasuk sama ada nasihat Penasihat Undang-Undang Negeri diperoleh sebelum keputusan berkenaan dibuat,” katanya.
Nasrul mendakwa, tindakan itu mencetuskan kekeliruan dan menghasut sebahagian masyarakat sehingga memudaratkan kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu.
“Sehubungan itu, Putra mahu semua anggota Exco terbabit dipanggil memberi keterangan mengenai asas perundangan dan proses pertimbangan keputusan tersebut.
“Putra mahu siasatan itu meneliti sama ada terdapat campur tangan politik dalam proses membuat keputusan.
“Hasil siasatan hendaklah dikemukakan segera kepada Jabatan Peguam Negara untuk penelitian dan tindakan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Nasrul menegaskan, Putra tidak mahu terlibat dalam krisis adat, namun urusan adat juga mesti mengikut protokol undang-undang yang telus.
“Kedaulatan undang-undang dan kedudukan Raja-Raja Melayu berasaskan Perlembagaan serta prinsip Rukun Negara dan perlu dihormati semua pihak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















