GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan diminta tidak memandang ringan keluhan pesawah di Pulau Pinang yang semakin ‘tawar hati’ untuk turun ke bendang akibat peningkatan kos pengeluaran.
Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Muhammad Jan berkata, keresahan itu bukan hanya berlaku di satu kawasan sebaliknya turut dirasai pesawah di Kepala Batas, Permatang Pauh, Seberang Perai dan Balik Pulau.
Katanya, keluhan pesawah di Pulau Pinang yang semakin ‘tawar hati’ untuk turun ke bendang bukan perkara yang boleh dipandang ringan.
“Kos membajak naik, kos menuai naik, pengangkutan meningkat, benih dan input pertanian semakin membebankan, tetapi pendapatan pesawah masih tidak seberapa.
“Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) memaklumkan kos pengeluaran di sesetengah kawasan sudah mencecah RM6,000 sehektar.
“Sampai bila pesawah yang menghasilkan makanan untuk rakyat perlu terus menanggung beban sebegini?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Muhammad Fawwaz, kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu menjelaskan penyelesaian menyeluruh dan jangka panjang bagi menangani tekanan yang dihadapi pesawah.
“Kerajaan perlu menjelaskan apakah penyelesaian menyeluruh dan jangka panjang yang mahu dilaksanakan daripada soal baja dan benih, kos diesel dan mekanisasi, kadar potongan padi, harga padi hinggalah kepada pemasaran beras.
“PeSAWAH (Persatuan Persaudaraan Pesawah Malaysia) sendiri telah meminta supaya sektor tanaman padi dipertimbangkan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi mengurangkan tekanan kos operasi,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan tidak seharusnya menunggu sehingga pesawah mengambil keputusan untuk meninggalkan sektor penanaman padi.
Katanya, soal padi dan beras bukan sekadar berkaitan pendapatan pesawah sebaliknya turut melibatkan keterjaminan makanan dan masa depan negara.
“Kerajaan jangan tunggu sampai satu hari nanti pesawah berkata, ‘Cukuplah, kami tak mahu bersawah lagi.’
“Apabila bendang mula ditinggalkan dan tanah sawah satu demi satu bertukar kegunaan, yang rugi bukan pesawah sahaja tetapi seluruh rakyat Malaysia.
“Kalau orang yang menanam makanan untuk kita sendiri sudah tawar hati untuk menanam, siapa nanti yang akan menjamin makanan di atas meja rakyat Malaysia?” soalnya lagi.
Media semalam melaporkan, Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berharap Belanjawan 2027 memberi perhatian kepada tuntutan mewujudkan kategori baharu sektor tanaman padi di bawah SKDS memandangkan kira-kira 80 peratus aktiviti penanaman bergantung kepada jentera diesel.
Katanya, permohonan itu dikemukakan sejak 2024 susulan penyasaran diesel, dengan kos pengeluaran di sesetengah kawasan mencecah RM6,000 sehektar, selain peningkatan kos pembajakan, penuaian, racun dan penyakit padi.
Abdul Rashid berkata, tuntutan itu telah beberapa kali dikemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, termasuk dalam mesyuarat pada Julai dan dua pertemuan pada Ogos, dengan harapan isu pesawah daripada benih hingga pemasaran beras dapat diselesaikan. – MalaysiaGazette
















