GEORGE TOWN – Tindakan pantas bomba memadamkan kebakaran di sebuah bilik darjah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling, Ayer Itam di sini, malam tadi berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke bahagian lain.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 7.54 malam sebelum jentera tiba di lokasi pada jam 8.09 malam.
Beliau berkata, kebakaran membabitkan sebuah bilik darjah berkeluasan kira-kira 20 x 30 kaki persegi dengan anggaran 20 peratus bahagian terbabit terjejas akibat kebakaran.
“Tiada aktiviti persekolahan ketika kejadian dan tiada mangsa dilaporkan terlibat.
“Pasukan bomba menjalankan kerja pemadaman dan kebakaran berjaya dipadamkan pada jam 8.40 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kerja-kerja overhaul kemudian dijalankan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.22 malam.
“Operasi membabitkan 12 anggota termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong dengan bantuan BBP Lebuh Pantai serta tiga jentera.
“Kes kemudian diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – MalaysiaGazette
















