KUALA LUMPUR – Hospital Kuala Lumpur (HKL) mahu mendapatkan bantuan orang ramai untuk mengesan waris pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di hospital ini sejak 17 Ogos 2026 yang lalu yang dimasukkan ke hospital ini disebabkan strok.
Menurutnya, semasa pesakit dimasukkan ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL pesakit ini tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri dan tidak dapat memberikan maklumat lanjut mengenai diri beliau.
Jabatan Kerja Sosial Perubatan HKL yang menjalankan siasatan juga mendapati pesakit ini gagal untuk memberikan nama penuh dan nombor kad pengenalan dirinya.
Pesakit ini hanya menyatakan nama gelaran yang digunakan sebagai ‘Thambirajan’, kata HKL dalam kenyataan hari ini.
Jabatan Kerja Sosial Perubatan HKL telah merujuk pesakit kepada Jabatan Pendaftaran Negara bagi mendapatkan maklumat lanjut identiti pesakit namun keputusan yang diterima ialah maklumat pesakit tidak sepadan dengan mana-mana rekod dalam simpanan jabatan tersebut.
Sehubungan itu, HKL ingin mendapatkan bantuan orang ramai untuk mengesan ahli keluarga, kenalan atau mana-mana individu yang mengenali pesakit untuk tampil dan menghubungi pihak hospital dengan segera bagi perbincangan lanjut urusan rawatan dan penjagaan lanjut pesakit.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai pesakit tersebut boleh dikemukakan kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan, HKL di talian 03-26155959. – MalaysiaGazette
















