KOTA BHARU – Kerugian jenayah komersial di Kelantan meningkat kepada RM33.47 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini berbanding RM27.50 juta untuk tempoh sama pada tahun lepas.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, jumlah kes jenayah itu meningkat 821 kes, iaitu daripada 1,100 kepada 1,921 kes dengan penipuan e-dagang merekodkan peningkatan paling ketara, iaitu daripada 260 kepada 657 kes manakala jenayah siber lain sebanyak 444 kes berbanding 287 kes sebelumnya.
“Trend ini menunjukkan jenayah semakin berubah mengikut perkembangan teknologi. Tindakan kita juga mesti pantas berubah, khususnya dalam pencegahan dan kesedaran awam,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan September 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Bagaimanapun, Mohd Yusoff berkata indeks jenayah keseluruhan Kontinjen Kelantan bagi Januari hingga Ogos lepas menurun tiga peratus kepada 1,213 kes berbanding 1,251 kes dalam tempoh sama pada 2025.
Beliau berkata jenayah kekerasan menurun 11 peratus daripada 310 kepada 276 kes manakala jenayah harta benda berkurangan daripada 941 kepada 937 kes.
Selain itu, kes narkotik menurun 13 peratus daripada 18,427 kepada 16,044 kes manakala jumlah tangkapan berkurang 10 peratus daripada 19,469 kepada 17,579 orang.
Beliau berkata, nilai rampasan dadah turut menurun 31.49 peratus daripada RM25.47 juta kepada RM17.45 juta hasil usaha membanteras ancaman dadah secara lebih tersusun dan berfokus.
Dalam usaha pencegahan, Mohd Yusoff berkata, PDRM Kelantan terus menggerakkan pelbagai pendekatan termasuk rondaan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Skuad Aman Wanita (AMANITA), program kepolisan komuniti serta jaringan bersama-sama agensi berkaitan.
Beliau berkata, penglibatan masyarakat menerusi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) juga perlu terus diperkasakan dengan sebanyak 150,019 orang telah mendaftar sebagai ahli VSP di Kontinjen Kelantan setakat 31 Ogos.
Beliau berkata, pendekatan mendekati golongan muda juga perlu mengambil kira pengaruh skrin, media sosial dan dunia digital selain mengekalkan hubungan secara bersemuka bagi membina kepercayaan masyarakat.
Mohd Yusoff berkata, usaha berterusan seperti itu penting bagi memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara selaras dengan tanggungjawab PDRM dalam mengekalkan keamanan negeri. – BERNAMA
















