Abd Rahman (duduk dua kiri) dan Ku Hasnan (duduk dua kanan) bersama panel forum serta ahli pertubuhan itu dalam Forum Bicara Ilmu di UTHM), Batu Pahat, hari ini.

BATU PAHAT – Rakyat perlu bijak dan matang dalam memilih pemimpin yang akan menentukan pentadbiran sekali gus membina negara ini pada masa depan.

Presiden Pertubuhan Warisan Melayu Negeri Johor, Datuk Abd Rahman Yunos berkata, rakyat perlu membuat pilihan tepat dan tidak sekali-kali terpengaruh atau leka setiap kali berlaku pemilihan pemimpin.

Jelasnya, ini bagi memastikan mereka tidak melakukan kesilapan sama yang akan mengundang rasa kesal dan kecewa nanti apabila menyedari pilihan itu salah.

Justeru kata beliau, satu forum bicara ilmu bertajuk Pemikiran Melayu Kontemporari diadakan pihaknya bagi membincangkan dalam menilai kepimpinan serta membina masa hadapan negara.

“Hasil daripada program ini, dapat dilihat timbulnya kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang betapa pentingnya untuk menilai terlebih dahulu seseorang pemimpin itu sebelum diangkat sebagai pembawa suara rakyat.

“Forum seperti ini telah dilaksanakan sebelum ini dan dijadikan satu aktiviti pertubuhan untuk memperingatkan masyarakat khususnya ahli pertubuhan agar sentiasa berwaspada untuk mengangkat seseorang pemimpin masa hadapan,” katanya.

Abd Rahman berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Forum Bicara Ilmu di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) di sini hari ini.

Katanya, pada masa ini rakyat hanya dihidangkan dengan kenyataan seseorang pemimpin melalui media sosial namun tidak mengetahui sama ada apa yang diucap itu benar-benar diamalkan.

“Itulah yang berlaku kepada generasi Y dan Z masa kini dan pada akhirnya mereka sendiri terpaksa tanggung akibat daripada kepercayaan penuh kepada ‘hidangan’ dalam media sosial itu,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan I Sains Politik, UTHM, Ku Hasnan Ku Halim yang diundang sebagai ahli panel berkata, forum seperti itu ibarat seperti memberi baja semula kepada akar agar menjadi kuat dan menghasilkan ‘buah’ yang lebih baik.

Ujarnya, forum berkenaan adalah untuk membicarakan tentang soal menyubur dan memperkukuhkan semula akal yang selama ini tersilap serta disesuaikan dengan realiti terkini.

“Kita tidak mempertidakkan yang lalu dan waktu yang sama kita tidak terlalu sangat meraihkan yang terkini. Apa yang saya nampak program ini adalah memperingatkan semula tentang tanggungjawab kita tentang pengetahuan yang berkaitan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here