Penguat kuasa JAINJ melakukan serbuan serta menahan lelaki dan wanita asing di sebuah hotel di Bukit Gambir, Tangkak, semalam.

TANGKAK – Keasyikan seorang pelajar kolej lelaki bersama-sama teman wanitanya berdua-duan dalam hotel di Bukit Gambir di sini terbantut apabila ditahan dalam operasi cegah maksiat malam semalam.

Operasi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) itu dilakukan pada pukul 11.45 malam dalam pemeriksaan berkala di hotel-hotel sekitar Bukit Gambir.

Apabila tiba di pintu bilik, penguat kuasa menekan loceng dan memanggil dengan kuat tetapi senyap, tiada siapa menyahut atau membuka pintu.

Tindakan penguat kuasa yang berterusan menekan loceng dan memanggil membuatkan pintu dibuka lima minit kemudian oleh seorang lelaki yang memakai seluar panjang dan baju-T.

Penguat kuasa kemudian memperkenalkan diri sambil menunjukkan kad kuasa seterusnya masuk ke bilik untuk pemeriksaan.

Pihak penguat kuasa bertanya lelaki terbabit sama ada dia seorang diri atau bersama-sama siapa dalam bilik tersebut.

“Dia kata seorang diri. Pemeriksaan mendapati tandas ditutup dan lampu tandas juga ditutup. Penguat kuasa mengetuk pintu tandas sebelum seorang wanita yang memakai baju-T dan seluar panjang keluar dari tandas.

“Pemeriksaan di katil menemui seluar dalam dan tudung wanita atas katil. Katil dalam keadaan berkecah dengan cadar dan selimut renyuk serta bantal berkembur.

“Beg lelaki dan wanita juga ditemui di atas meja dan kerusi. Tuala kedua-duanya sudah basah,” menurut JAINJ dalam kenyataan.

JAINJ memaklumkan, dalam siasatan yang dijalankan pasangan tersebut mengaku hanya berdua-duan dan mereka bukan suami isteri serta bukan juga adik beradik tiri.

“Kedua-duanya berasal dari Selangor dan berusia belasan tahun, belum 20 tahun. Lelaki masih bujang dan sedang belajar di sebuah kolej di Selangor. Wanita pula atas kertas masih anak dara dan sedang melanjutkan pelajaran di Pagoh.”

Jelas JAINJ, pasangan tersebut mengakui sudah bercinta sejak di bangku sekolah namun kini tinggal berjauhan kerana masing-masing belajar di negeri berbeza.

Tambah JAINJ, lelaki berkenaan datang dengan motosikal menempuh perjalanan 4 jam dari Selangor ke Bukit Gambir manakala pasangannya pula hanya 20 minit dari rumahnya ke hotel tersebut.

Selepas ditangkap menurut jabatan tersebut, pasangan tersebut merayu selepas menyedari hukuman yang bakal dikenakan kerana berkhalwat.

“Selepas ditangkap, baru fikir beratnya hukuman yang bukan setakat denda tetapi melibatkan tatatertib di peringkat majikan atau pusat pengajian yang tak habis di situ saja.”

Pasangan tersebut ditahan atas kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here