PASIR GUDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memujuk Anthony Loke untuk kekal sebagai Menteri Pengangkutan bagi memastikan beberapa projek pengangkutan utama termasuk di Johor dapat disiapkan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, pengunduran Anthony itu dikhuatiri akan menjejaskan projek-projek yang sedang dilaksana termasuk di Johor.
Antaranya, kata beliau, projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura; Laluan Rel Pantai Timur (ECRL); cadangan landasan kereta api Pasir Gudang dan sistem Transit Aliran Autonomi (ART) yang masih belum dilaksanakan sepenuhnya.
“Anwar harus terlebih dahulu mendengar alasan Loke sebelum memutuskan sama ada mahu menerima tawaran peletakan jawatannya. Kita mempunyai contoh di mana pemimpin menolak peletakan jawatan ahli dalam pentadbiran mereka.
“Saya berharap jika Anwar mendengar pandangan saya iaitu akan memujuk Loke untuk kekal. Kita sudah semakin hampir dengan pilihan raya umum dan Loke merupakan aset kepada kerajaan dan Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Hassan berkata demikan dalam sidang akhbar selepas Sesi Dialog Antara Pengusaha Pengangkutan dan Ahli Perniagaan Bersama Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor dan Pegawai LHDN Johor di Lepak Corner di sini, hari ini.
Hassan berkata, secara peribadi beliau menghormati keputusan Anthony Loke yang menawarkan peletakan jawatan susulan pengampunan bersyarat yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menyifatkan tindakannya itu sebagai bertanggungjawab.
“Beliau kalah di Negeri Sembilan, partinya kalah dan Pakatan Harapan kalah. Loke mengambil tanggungjawab dan menawarkan diri untuk meletak jawatan, dan saya menganggap itu sebagai tindakan yang bertanggungjawab,” katanya.
Bagaimanapun, kata Hassan, keputusan sama ada Anthony perlu meninggalkan Kabinet akhirnya ditentukan Anwar yang sudah memberi bayangan akan mendengar alasan Menteri Pengangkutan itu sebelum membuat keputusan.
Hassan memetik contoh melibatkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang menolak peletakan jawatan Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai Exco kerajaan negeri sebelum ini.
Jelasnya, ini termasuk contoh-contoh dalam sejarah yang pernah berlaku semasa pentadbiran Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Menurutnya, contoh-contoh sedemikian menunjukkan bahawa peletakan jawatan tidak semestinya perlu diterima, terutamanya apabila khidmat seseorang menteri atau anggota dalam pentadbiran yang masih dianggap amat diperlukan. – MalaysiaGazette
















