Pesawat F-35

SYDNEY – Komponen jet pejuang F-35 yang dilaporkan hilang selepas dihantar dari Australia dan secara tidak dijangka dialihkan ke Hong Kong bukan peralatan “sensitif”, kata Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles, hari ini.

Beliau turut mengesahkan Canberra membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Amerika Syarikat mengoperasikan lebih 800 jet F-35, sistem persenjataan paling mahal miliknya yang turut digunakan oleh beberapa negara sekutu pertahanannya termasuk Australia.

Portal berita Politico sebelum ini melaporkan satu penghantaran komponen F-35, termasuk kanopi yang dilengkapi teknologi tahan radar, telah dialihkan secara tidak dijangka ke Hong Kong selepas meninggalkan Australia.

Perkembangan itu menimbulkan persoalan sama ada China berkemungkinan telah memperoleh akses kepada sistem persenjataan berkenaan.

Marles mengesahkan kejadian itu kepada pemberita pada Selasa dan berkata Australia bekerjasama dengan Amerika Syarikat serta kontraktor utama program F-35, Lockheed Martin, dalam siasatan tersebut.

“Kami sedang meneliti dengan teliti segala yang berlaku di pihak Australia,” katanya.

Beliau berkata Canberra yakin dengan cara pihaknya terlibat dalam program berkenaan, namun tidak memberikan perincian lanjut.

“Kita tidak bercakap mengenai peralatan sensitif atau komponen sensitif dalam perkara ini. Namun, pada akhirnya, isu ini akan diuruskan oleh Amerika Syarikat dan Lockheed berkaitan apa yang telah berlaku,” katanya.

Menurut Marles, Lockheed Martin bertanggungjawab menguruskan rantaian bekalan global F-35.

Australia kini memiliki 72 jet F-35 dan merupakan antara tujuh negara di luar Amerika Syarikat yang berkongsi kumpulan alat ganti global bagi pesawat berkenaan.

Enam negara lain ialah Kanada, Denmark, Itali, Belanda, Norway dan Britain.

Sebanyak 12 negara lain turut membeli jet pejuang berkenaan, termasuk Jepun, Singapura dan Korea Selatan.

Politico melaporkan Lockheed Martin menggunakan sebuah syarikat ketiga untuk menghantar komponen terbabit yang sepatutnya menuju ke Amerika Syarikat, namun sebaliknya berakhir di Hong Kong.

Laporan Politico pada Sabtu lalu menyatakan masih tidak jelas mengapa peralatan itu dialihkan atau pihak yang kini memilikinya.

Sebuah gudang di Williamtown, berhampiran Newcastle di utara Sydney, berfungsi sebagai hab serantau Asia Pasifik bagi alat ganti F-35.

Parlimen Australia pada tahun lalu dimaklumkan bahawa komponen F-35 dipindahkan masuk dan keluar dari gudang berkenaan oleh Lockheed Martin untuk dihantar ke pelbagai destinasi di seluruh dunia, termasuk menggunakan pesawat komersial yang mempunyai persinggahan di Asia.

Pegawai pertahanan Australia pada tahun lalu berkata negara itu tidak mengawal atau mengarahkan eksport komponen F-35 dari gudang berkenaan.

Dua sumber memberitahu AFP bahawa program tersebut dikawal oleh tentera Amerika Syarikat.

Gudang berkenaan direka untuk menyokong operasi jet F-35 di Singapura, Jepun dan Korea Selatan, selain kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat dan Britain yang ditempatkan di rantau ini.

Lockheed Martin Australia berkata pihaknya tidak dapat mendedahkan prosedur penghantaran atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun, syarikat itu berkata setiap penghantaran dikendalikan dengan “ketelitian sepenuhnya” dan mematuhi “semua peraturan Amerika Syarikat yang ditetapkan oleh Jabatan Perang”. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here