KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Negeri Sembilan (MPNPHNS) memandang berat dan mengutuk sekeras-kerasnya penglibatan secara ‘total’ Exco negeri dalam usaha untuk menyingkirkan dan menurunkan Yang di-Pertuan Negeri, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir daripada takhta.
Dalam satu kenyataan, katanya, perkara itu menjadi lebih serius apabila Menteri Besar Negeri Sembilan melalui surat bertarikh 17 September 2026 memohon supaya penurunan takhta itu diiktiraf dan mengarahkan pentadbiran Kerajaan Negeri melaksanakan keputusan tersebut.
Menurutnya, usaha menyingkirkan Tuanku Muhriz diikuti tindakan pentadbiran untuk mengiktiraf seorang Yang di-Pertuan Besar lain dan membawa perkara tersebut kepada pengetahuan Raja-Raja Melayu, merupakan suatu penderhakaan secara terang-terangan terhadap Raja Pemerintah.
“MPNPHNS memandang perkara ini sebagai suatu penderhakaan yang amat besar terhadap institusi Raja Negeri Sembilan dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, perkara itu lebih serius apabila ia melibatkan mereka yang memegang amanah dalam pentadbiran Kerajaan Negeri serta telah mengangkat sumpah dan ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar dan institusi Diraja.
Tegasnya, titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang dibuat menurut kuasa dan peruntukan perlembagaan hendaklah dihormati, dijunjung dan dipatuhi.
“Kenyataan Istana bertarikh 20 September 2026 menyatakan bahawa pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dibatalkan berkuat kuasa serta-merta kerana mereka memungkiri sumpah jawatan.
“MPNPHNS menegaskan bahawa Menteri Besar hendaklah mengambil tindakan sewajarnya terhadap titah Tuanku Muhriz supaya senarai calon Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu dipersembahkan untuk pertimbangan dan perkenan baginda menurut UUTKNS 1959,” katanya.
Tambahnya, tiada mana-mana anggota pentadbiran negeri boleh memilih untuk mematuhi titah Raja hanya apabila titah tersebut selari dengan kehendak mereka sendiri.
Katanya, MPNPHNS memandang tindakan yang melibatkan 10 Exco Negeri Sembilan sebagai amat serius kerana ia menyentuh secara langsung prinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara sebagaimana terkandung dalam Rukun Negara.
Tegasnya, kesetiaan kepada Raja dan Negara mesti diterjemahkan melalui tindakan, bukan sekadar dilafazkan melalui sumpah dan ikrar.
“MPNPHNS menggesa supaya keseluruhan perkara ini disiasat secara telus, bebas dan menyeluruh oleh pihak berkuasa yang berkaitan.
“Sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, tindakan tegas hendaklah diambil tanpa mengira kedudukan, pangkat atau jawatan,” katanya.
Sehubungan itu, tambahnya, MPNPHNS akan mengadakan Munajat Rakyat Negeri Sembilan dengan Solat Hajat secara berjemaah di Seremban pada 24 September 2026.
Katanya, program itu akan disusuli dengan penganjuran solat hajat di peringkat Parlimen pada minggu-minggu berikutnya.
“Kita memohon kepada Allah SWT agar segala kekusutan dapat diuraikan, kebenaran diperlihatkan serta Negeri Sembilan terus dipelihara dalam keamanan, keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan,” katanya. – MalaysiaGazette
















