KUALA LUMPUR – Penjawat awam tidak seharusnya dijadikan mangsa dalam kemelut politik dan perlembagaan yang sedang berlaku di Negeri Sembilan, tegas Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Yuneswaran Ramaraj.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara berkata, penjawat awam perlu diberi ruang menjalankan amanah berdasarkan undang-undang, peraturan dan nasihat perundangan tanpa diheret ke dalam pertikaian politik.
“Dalam apa juga kemelut politik, penjawat awam tidak seharusnya dijadikan mangsa pencaturan kuasa.
“Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri menjalankan tanggungjawab mereka berdasarkan undang-undang, peraturan dan nasihat perundangan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Kenyataan itu dibuat susulan keputusan Mesyuarat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan yang memutuskan penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri berkuat kuasa serta-merta.
Yuneswaran berkata, perkembangan itu menimbulkan persoalan sama ada penjawat awam akan menjadi mangsa apabila mereka melaksanakan tanggungjawab berdasarkan kerangka undang-undang dan nasihat perundangan.
“Perbezaan pandangan politik tidak sepatutnya diterjemahkan kepada tekanan terhadap penjawat awam.
“Jangan politikkan perkhidmatan awam. Jangan hukum penjawat awam kerana menjalankan amanah,” tegasnya.
Katanya, dalam keadaan kemelut yang turut membabitkan institusi negeri, prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan perlu terus dihormati.
“Kita mungkin berbeza pandangan politik, tetapi kita mesti mempunyai satu pendirian yang sama iaitu kedaulatan undang-undang, keluhuran Perlembagaan serta kebebasan dan integriti perkhidmatan awam.
“Jangan jadikan penjawat awam korban kepada percaturan politik,” ujarnya lagi.
Yuneswaran berkata, pertikaian politik dan institusi tidak seharusnya menjejaskan kesinambungan pentadbiran awam atau menimbulkan persepsi bahawa penjawat awam dihukum kerana melaksanakan tugas mereka.
“Politik datang dan pergi. Jawatan datang dan pergi. Tetapi institusi negara mesti terus berdiri,” katanya. – MalaysiaGazette
Krisis N. Sembilan: MMKN gantung tugas SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri
















