KUALA LUMPUR – Penghuni sebuah blok pangsapuri di Bandar Damai Perdana, Cheras di sini diarah mengosongkan kediaman mereka malam ini susulan insiden tanah runtuh berhampiran kediaman itu, dipercayai berpunca daripada kebocoran air bawah tanah.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata Komander Operasi di lokasi mengarahkan penduduk berhampiran Blok A pangsapuri itu supaya segera berbuat demikian sebagai langkah berjaga-jaga.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada 9.03 malam sebelum sepasukan lima anggota berserta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn digerakkan ke lokasi.
Ashrul Riezal berkata pasukan penyelamat yang tiba di lokasi lapan minit kemudian mendapati insiden itu membabitkan tebing setinggi 4.57 meter manakala jarak tanah yang menggelongsor ialah sekitar 0.91 meter, dan pemerhatian mendapati air masih mengalir di kawasan kejadian namun tiada sebarang pergerakan tanah dikesan oleh pasukan penyelamat setakat ini.
“Pemantauan terhadap keadaan tanah dan aliran air sedang giat dijalankan bagi memastikan keselamatan di lokasi kejadian,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata insiden itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa atau kemalangan jiwa, dan pihak Jabatan Kerja Raya telah dimaklumkan untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA
















