Donald Trump. Photo by AFP

NEW YORK – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa mendakwa beliau telah menjadikan AS negara paling berkuasa di dunia.

“Ketika pihak lain menjanjikan kekuatan, saya telah menggunakannya untuk menjadikan Amerika negara paling berkuasa di dunia,” kata Trump ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), lapor Sputnik/RIA Novosti.

Beliau berkata AS kini lebih kuat berbanding sebelum ini.

“Dengan bangganya saya boleh memberitahu anda bahawa Amerika telah kembali dan negara kami hari ini lebih kuat berbanding sebelum ini. Ekonomi kami dicemburui dunia. Tentera kami adalah yang paling berkuasa di dunia. Teknologi kami tiada tandingan dan kami mendahului dalam hampir semua bidang,” kata Trump ketika berucap dari rostrum UNGA.

Sesi ke-81 UNGA secara rasmi dibuka di New York pada 8 Sept. Seperti kelaziman, Minggu Peringkat Tinggi diadakan sebagai sebahagian daripada UNGA, dengan Perbahasan Umum dijadual berlangsung pada 22 hingga 26 Sept dan 28 Sept.

Trump berkata AS akan menggunakan kekuatan tenteranya untuk mempertahankan kepentingan nasional yang penting di Hemisfera Barat sekiranya perlu.

“Amerika Syarikat tidak lagi akan membenarkan ancaman terhadap Amerika bertapak di mana-mana sahaja di Hemisfera Barat. Jika perlu, kami akan menggunakan kekuatan ketenteraan kami yang tiada tandingan untuk melindungi kepentingan nasional penting Amerika Syarikat,” katanya.

Trump berkata AS kini menambah bekalan peluru ke dalam simpanannya pada kadar lebih pantas berbanding sebelum ini.

“Kami mempunyai lebih banyak peluru daripada yang mungkin dapat kami gunakan dan kami menghasilkannya pada tahap yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Kami menambah simpanan pada kadar lebih pantas berbanding yang pernah kami lakukan,” katanya.

Trump turut menyifatkan mereka yang mendakwa AS semakin kekurangan bekalan peluru sebagai “pengecut” dan “pengkhianat”.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa AS dan Iran akan mencapai perjanjian damai sejurus selepas pilihan raya separuh penggal akan datang.

“Saya percaya kita akan membuat perjanjian sejurus selepas pilihan raya kerana tiada sebab untuk mereka [Iran] tidak berbuat demikian,” kata Trump.

Pilihan raya separuh penggal AS dijadual berlangsung pada 3 Nov.

Trump berkata Iran berulang kali menolak cadangan perjanjian daripada AS.

“Sekali lagi, saya menggesa Iran mencapai perjanjian. Dan sekali lagi, mereka menolaknya.”

Dalam ucapannya, Trump turut menegaskan beliau tidak akan membenarkan Iran memiliki senjata nuklear.

“Sejak hari pertama saya menceburi arena politik, pendirian saya tidak pernah berubah. Saya tidak akan sesekali membenarkan Iran memiliki senjata nuklear,” katanya.

Beliau berkata harga minyak global tidak lama lagi akan turun ke paras sebelum konflik dengan Iran bermula.

“Tidak lama lagi kita akan melihat dunia yang bebas daripada ancaman yang telah berlarutan selama 51 tahun, iaitu keganasan Iran, dan harga minyak akan menjunam lebih rendah berbanding paras pada permulaan konflik,” kata Trump. – BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here