Pelajar berbincang dan melengkapkan aktiviti modul di salah satu daripada lima stesen pembelajaran yang memberi tumpuan kepada komunikasi, kepimpinan dan literasi digital.

SIJANGKANG – Pendedahan terhadap berita palsu dan kandungan dijana kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan remaja menjadikan kemahiran komunikasi yakin serta keupayaan menilai maklumat secara kritis semakin penting untuk diterapkan sejak awal persekolahan menengah.

Menyedari keperluan itu, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) menganjurkan program The Architect of Influence: Communication and Leadership 5.0 di bawah Projek Sekolah Angkat MADANI 2026.

Program yang disertai 39 pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya itu dilaksanakan baru-baru ini menerusi modul Learning to Lead in the Digital World.

Modul komunikasi, kepimpinan dan literasi digital tersebut dibangunkan pasukan FKPM UiTM khusus untuk golongan muda bagi membantu mereka berdepan cabaran dunia digital.

Seramai 10 pensyarah FKPM UiTM terlibat dalam program The Architect of Influence: Communication and Leadership 5.0 bergambar bersama Dr. Asnida Gani, Guru Kanan Mata Pelajaran SMK Sijangkang Jaya.

Seramai 10 pensyarah FKPM daripada pelbagai bidang kepakaran terlibat dalam pembangunan serta pelaksanaan modul berkenaan yang disampaikan menerusi lima stesen pembelajaran interaktif.

Lima stesen itu memberi tumpuan kepada kemahiran berkomunikasi dengan yakin, kepimpinan bermula daripada diri sendiri, mengenali diri, penggunaan media sosial secara bijak serta keupayaan menilai maklumat dan kandungan AI.

Antara kemahiran yang diterapkan ialah mengenal pasti berita palsu, tajuk umpan klik dan kandungan yang dijana AI.

Pelajar turut diajar supaya tidak menerima bulat-bulat maklumat yang dilihat dalam talian, sebaliknya menyemak kesahihan serta mencari bukti terlebih dahulu sebelum berkongsi sesuatu kandungan.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri FKPM UiTM, Profesor Madya Dr. Tengku Elena Tengku Mahamad berkata, matlamat utama program itu adalah membawa ilmu dan kepakaran universiti kepada komuniti dalam bentuk yang sesuai serta boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

“Bagi kami, pemindahan ilmu bukan sekadar berkongsi apa yang kita tahu, tetapi bagaimana ilmu itu boleh digunakan dan memberi manfaat kepada komuniti.

“Tingkatan Satu adalah usia yang baik untuk kita mulakan kerana mereka baru beralih daripada sekolah rendah ke sekolah menengah, sedang membina keyakinan dan mengenali diri, dan pada masa sama semakin terdedah kepada dunia digital,” katanya.

Beliau berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan dan membina kesedaran sejak awal supaya pelajar mempunyai asas untuk berkomunikasi, mengenali diri, memimpin serta membuat pilihan secara lebih bertanggungjawab.

Sementara itu, guru kelas Tingkatan Satu, Anizam Kandis menyambut baik pelaksanaan program berkenaan yang disifatkannya sebagai peluang pendedahan baharu kepada pelajar.

“Kami sangat berterima kasih atas peluang yang diberikan kepada pelajar. Program seperti ini tidak selalu dapat mereka sertai, jadi ia memberi mereka peluang untuk mendapat pendedahan dan mempelajari perkara baharu di luar apa yang biasa mereka pelajari di sekolah.

“Pelajar juga sangat seronok mengikuti program ini,” katanya.

Inisiatif menerusi pendekatan pembelajaran di luar bilik darjah itu turut menyumbang kepada usaha memperluas akses pendidikan berkualiti yang bersesuaian dengan persekitaran digital semakin kompleks. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here